Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kelantan berada dalam kedudukan kedua negeri selamat selepas Sabah berdasarkan nisbah jenayah indeks.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata walaupun isu sosial seperti penyalahgunaan dadah sering dibangkitkan, penilaian terhadap tahap keselamatan negeri ini harus dibuat secara menyeluruh dan berpandukan data yang sahih.
“Banyak persepsi negatif dilemparkan terhadap Kelantan, dengan 96 kes jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk, Kelantan membuktikan tahap keselamatan yang sangat baik” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (BN-Galas), Mohd Syahbuddin Hashim dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sebagai negeri sempadan, Kelantan berdepan cabaran besar berkaitan jenayah rentas sempadan seperti pengedaran dadah dan aktiviti penyeludupan.
“Kelantan berada di negeri sempadan menjadikan begeri ini di barisan hadapan dalam berdepan ancaman seperti dadah terutama pil kuda dan jenayah rentas sempadan, namun tidak boleh diletakkan tanggungjawab itu hanya pada kerajaan negeri.
“Bila kita sebut masalah sosial, ia bukan hanya di Kelantan, malah seluruh negara begitu juga dunia menghadapinya. Remaja kita sama seperti remaja di negeri lain juga, mereka semua anak muda kita, anak bangsa kita, agama kita.
“Kita harus lebih adil dalam melihat sebab dan bukan hanya sekadar menghukum negeri semata,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam turut membantu memperkukuh nilai sahsiah rakyat Kelantan serta menjadi benteng kepada keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau dapatan daripada kajian Indeks Sosial Takwa menunjukkan prestasi memberangsangkan, mencerminkan kekuatan nilai murni rakyat Kelantan dari segi pendidikan, budaya, dan cara hidup.
“Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif seperti menubuhkan unit dakwah halaqah, mewujudkan enakmen kawalan hiburan, , menutup kedai judi dan mengawal penjualan arak dari semasa ke semasa.
“Kita juga melakukan pengubahsuaian terhadap budaya rakyat Kelantan yang bertentangan Islam, contohnya dalam membabitkan persembahan Makyong, wayang kulit dan lain-lain,”katanya.
IMedikel TV






