Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini menyaksikan suasana tegang seketika apabila Ketua Pembangkang, Mohd Syahbuddin Hashim, membantah gangguan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan semasa beliau menyampaikan perbahasan titah diraja.
Dalam kekecohan itu, beliau yang juga merangkap ADUN Galas daripada Barisan Nasional (BN), berkata dalam kekecohan itu beliau hanya sempat membaca 46 soalan daripada 101 soalan yang ingin disampaikan.
“Saya diberi masa singkat untuk berbahas. Saya sudah menghantar surat rasmi untuk melanjutkan masa tetapi hanya diberi tambahan masa lima minit.
“Dalam tempoh lima minit saya diganggu oleh beberapa ADUN, jadi saya hanya sempat bacakan 46 soalan daripada 101 soalan,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di luar dewan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Darul Naim, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Syahbuddin, beliau sedikit kesal dengan keteganan tadi namun akan tetapkan meneruskan perjuangan untuk menyuarakan apa yang difikirkan wajar, kesesuaian dan wajib diketahui rakyat Kelantan.
“Seperti biasa, saya sebagai Ketua Pembangkang akan menjadi sasaran kepada ADUN kerajaan untuk menghentikan, melencongkan dan kalau boleh fakta-fakta yang saya cuba sampaikan dikelirukan.
“Jadi bagi saya itu biasa, hasrat untuk saya sampaikan kehendak rakyat tidak dapat ditunaikan sepenuhnya,”katanya.
Katanya antara isu penting yang disuarakan termasuklah pelaburan negeri, masalah air bersih, pembangunan belia, pelancongan, pertanian, wanita, orang kurang upaya (OKU) manakala antara isu tidak sempat dikemukakan berkait dengan kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Saya tidak sempat hendak memperincikan lagi soalan saya sebab sudah ada gangguan.
“Sebenarnya soalan-soalan yang dibangkitkan ini menyentuh secara langsung, dan disebabkan itu ad gangguan tersebut.
“Kalau lebih banyak soalan diajukan maka lebih banyak jawapan diperlukan,”katanya.
IMedikel TV






