Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan memperkukuh sektor pertanian menerusi empat projek yang sudah mendapat kelulusan dengan nilai hampir RM5 juta bagi fasa pertama.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata selain sektor pertanian termasuk petani dan nelayan, pihaknya juga akan memperkasa agro-pelancongan.
“Empat projek fasa pertama itu adalah Gerakan Pertanian Al-Falah, Kelantan Bioart Centre Jeram Pasu, Kelantan Organic Research Centre Labok dan Rong Chenok Agro Valley Pasir Mas.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan negeri ini sebagai Jelapang Makanan Negara dan meningkatkan pengeluaran produk pertanian negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PAS-PANTAI IRAMA) Mohd Huzaimy Che Husin mengenai langkah untuk memperkukuh sektor pertanian negeri, termasuk bantuan kepada petani dan nelayan, serta perancangan untuk memperkasa agro-pelancongan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Menurut beliau, bagi pembangunan Agro Valley, kawasan itu mempunyai keluasan hampir 300 ekar dengan ternakan lembu hybrid jenis baka Charolais.
“Selain daripada lembu, ada juga ayam dan rusa yang diternak dan dibiak bakakan di Agrovalley Rong Chenok,” katanya.
Mengulas lanjut, bagi bantuan kepada petani dan nelayan pula ialah, bantuan tunai kepada pesawah yang terjejas banjir, bantuan tabung bencana pertanian untuk penternak akuakultur, proses pembangunan usahawan tani Al-Falah dan kursus usahawan dan usahawan tani 2025.
“Kerajaan telah menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM18,982,212.06 kepada pesawah di Kelantan yang terjejas akibat banjir.
“Sebanyak RM563,930 diberikan kepada 61 penternak yang terjejas bencana banjir dan bantuan akan diberikan dalam bentuk benih ikan.
“Selain itu, jumlah peruntukan sebanyak RM1,350 adalah untuk menyasarkan usahawan tani Al-Falah yang terlibat dengan fertigasi sayur-sayuran, penternakan lembu kambing dan lebah kelulut,” katanya.
Di samping itu, jelasnya bagi memperkasa agro-pelancongan, kerajaan negeri akan meningkatkan fasiliti dan kemudahan di kawasan seperti Jeram Mengaji, Danau Tok Uban, Rong Chenok dan sebagainya.
IMedikel TV






