Home Sukan LECLERC NAFI PRESTASI FERRARI TERUK

LECLERC NAFI PRESTASI FERRARI TERUK

376
0

MILAN: Pemandu Ferrari, Charles Leclerc menegaskan prestasi pasukannya musim ini tidak seharusnya dilabel sebagai ‘teruk’ walaupun belum mencatat sebarang kemenangan selepas 10 perlumbaan.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, menurutnya, walaupun setakat ini Ferrari jauh ketinggalan di belakang McLaren dan Red Bull, prestasi keseluruhan masih belum sampai ke tahap mengecewakan atau mengejutkan, sebaliknya ada beberapa aspek yang memerlukan penambahbaikan segera.

“Tiada siapa dalam pasukan yang berpuas hati dengan prestasi semasa, itu jelas.

Kami masuk musim ini dengan keyakinan boleh mencabar McLaren dan Red Bull untuk kejuaraan, tetapi itu belum menjadi kenyataan,” katanya kepada RacingNews365.

Leclerc mengakui McLaren melakukan peningkatan ketara berbanding tahun lalu, jauh lebih besar berbanding pesaing lain, termasuk Ferrari yang kini semakin ketinggalan dalam saingan kejuaraan.

Musim lalu, Ferrari hampir mencabar kejuaraan pengeluar sehingga perlumbaan terakhir musim 2024 sebelum tewas kepada McLaren dengan hanya 14 mata.

Namun tahun ini, jentera SF-25 belum menunjukkan taringnya apabila gagal mendekati kelompok pendahulu secara konsisten.

Setakat ini, Ferrari belum menang sebarang perlumbaan, dengan Leclerc hanya meraih tiga podium, manakala rakan sepasukannya, Lewis Hamilton belum melepasi kedudukan keempat dalam mana-mana perlumbaan.

Sebaliknya, McLaren dan Red Bull mendominasi kebanyakan perlumbaan musim ini, manakala kemenangan mengejut Mercedes di Grand Prix Kanada meletakkan pasukan itu di tempat kedua dalam kedudukan pengeluar iaitu satu anak tangga di atas Ferrari.

“Jika dibandingkan dengan McLaren, ya jurang agak besar. Tapi dengan pasukan lain, kami masih kompetitif. Masalahnya ia belum cukup bagus dan kami perlu cari apa yang McLaren temui musim ini.

“Kami juga perlu berhati-hati dengan persepsi orang luar terhadap pasukan. Kadangkala perkara di sekeliling boleh menjejaskan gambaran sebenar prestasi musim kami,” kata Leclerc.

Ferrari kini berada di tangga ketiga dalam kejuaraan pengeluar dan dijangka akan menggunakan baki 14 perlumbaan untuk memperbaiki prestasi serta mencari kemenangan sulung musim ini. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here