JAKARTA: Pelancong Brazil ditemukan maut selepas terjatuh ke dalam gaung di Gunung Rinjani, Lombok, semalam.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, kejadian yang berlaku di lokasi pendakian popular di Indonesia itu mengorbankan Juliana Marins, 26, ,yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Usaha mencari dan menyelamat mengambil masa beberapa hari berikutan cuaca buruk dan keadaan muka bumi sukar, walaupun pasukan penyelamat berjaya mengesan mayat mangsa melalui dron.
Kementerian Luar Brazil mengesahkan kematian Marins, selepas empat hari usaha mencabar disebabkan cuaca, rupa bumi dan penglihatan terhad.
Katanya, akhirnya, pasukan dari agensi mencari dan menyelamat kebangsaan Indonesia berjaya menemukan mayat mangsa.
“Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva turut menyatakan rasa sedih terhadap insiden itu.
“Perkhidmatan diplomatik dan konsular kami di Indonesia akan terus memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa dalam saat duka ini,” kata kementerian itu dalam satu hantaran di platform X.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan Indonesia, Mohammad Syafii berkata, mayat Marins akan dibawa turun pagi Rabu kerana keadaan cuaca masih tidak mengizinkan.
“Salah seorang penyelamat berjaya sampai ke lokasi pada kedalaman 600 meter dan mendapati mangsa tidak lagi bernyawa.
“Tiga penyelamat lain turut mengesahkan perkara sama selepas menghampiri mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, akaun Instagram yang berkongsi perkembangan terkini mengenai misi pencarian turut mengesahkan Marins ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri semalam.
“Dengan penuh kesedihan, kami memaklumkan Juliana tidak berjaya diselamatkan.
“Kami amat menghargai semua doa, mesej kasih sayang dan sokongan yang diberikan,” menurut hantaran terbaharu yang menerima lebih 1.5 juta pengikut sejak kehilangannya.
Menerusi hantaran terakhir di Instagram, Marins dilihat mengembara secara solo di Thailand dan Vietnam sebelum ke Indonesia. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






