Home Sukan CONNOR, JAMIE UNGGULI HARI PERTAMA JELAJAH GOLF 100PLUS SRIXON

CONNOR, JAMIE UNGGULI HARI PERTAMA JELAJAH GOLF 100PLUS SRIXON

305
0

MIRI: Connor Axel Liew Kai dan Jamie Tan Huan Ying mempamerkan aksi cemerlang apabila masing-masing mendahului carta kategori Lelaki A dan Perempuan A pada hari pertama Sirkit Kedua Kejohanan Golf 100PLUS Srixon Jelajah Pembangunan Malaysia yang berlangsung di Kelab Golf Eastwood Valley, di sini, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, beraksi di lapangan berbeza berbanding edisi 2024 yang diadakan di Kelab Golf Miri nyata memberikan cabaran baharu kepada para peserta, khususnya disebabkan tiupan angin yang tidak menentu.

Namun, ia tidak menghalang Connor untuk mencatat par 72 sekaligus mengungguli kategori lelaki A.

“Saya bermula agak goyah apabila pukulan masuk ke kolam di sembilan lubang pertama, tetapi berjaya mengawal permainan selepas itu,” katanya.

“Saya suka dengan lapangan di sini kerana bersifat mendatar walaupun green yang beralun tetapi saya berjaya menyesuaikan diri. Saya tidak terlalu memberi fokus kepada kedudukan tetapi hanya mahu fokus kepada permainan sendiri pada hari hari seterusnya,” kata Connor.

Persaingan sengit turut hadir menerusi AK Muhd Zakwan Pg Zaki Al Hakim dan Ng Li Xin yang berkongsi kedudukan kedua dengan catatan 82 pukulan, 10 di atas par.

Bagi kategori Lelaki B, pendahulu ialah Muhd Harith Irfan Md Hendra Putera.

Sementara itu, dalam kategori Perempuan A, Jamie muncul pendahulu selepas menamatkan hari pertama dengan 73 pukulan, satu di atas par.

Dia meninggalkan pencabar terdekat, Ngo Yi Belle dengan kelebihan lima pukulan.

“Saya bermula perlahan, tetapi kembali stabil selepas berjaya menghasilkan beberapa pukulan putting dan chipping yang kemas. Lapangan ini agak mesra pemain jika diberi tumpuan,” kata Jamie.

Seramai 64 pemain remaja berusia 13 hingga 18 tahun menyertai kejohanan ini, dengan 40 daripadanya berpeluang memburu tempat ke Grand Finale Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa yang dijadual berlangsung Oktober ini di Kelab Golf Kota Permai, Kota Damansara.

Tiga sirkit dipertandingkan sebagai medan pemilihan, bermula dengan Sirkit Pertama di Kelab Golf Templer Park, Rawang (6 hingga 8 Jun), diikuti Sirkit Kedua di Miri (24 hingga 26 Jun), sebelum ditutup dengan Sirkit Ketiga di Kelab Golf Glenmarie, Subang pada 8 hingga10 Julai ini. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here