KUALA LUMPUR: Keluarga Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian (BH), Allahyarham Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, menerima faedah Pencen Penakat oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Memetik laporan Berita Harian, melalui faedah Pencen Penakat itu, ibu Allahyarham, iaitu Katijah Muda, 69, menerima bayaran pencen bulanan untuk seumur hidup berjumlah RM1,300 yang akan mula disalurkan, bulan depan.
Semalam, Pengarah PERKESO Terengganu, Suhara Mustaffa menyerahkan baucar bayaran Faedah Pengurusan Jenazah dalam program Ziarah Prihatin ke rumah keluarga Allahyarham Raja Nurfatimah di Kuala Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata PERKESO sentiasa berusaha menjaga kebajikan pencarum dengan memastikan faedah diberi kepada pihak yang layak, selari prinsip perlindungan sosial sejagat.
“Hasil keprihatinan majikan untuk mencarum, kita dapat tunaikan hasrat Allahyarham Raja Nurfatimah menjaga ibu menerusi penyaluran faedah Pencen Penakat.
“Semoga faedah Pencen Penakat ini sedikit sebanyak mampu membantu ibunya, mencukupkan mana yang tidak cukup, menambah mana yang kurang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Allahyarham Raja Nurfatimah meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, Kajang, Ahad lalu selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira jam 2 petang.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Panjang, Kuala Terengganu, kira-kira jam 11 pagi semalam, dengan disaksikan rakan, sanak-saudara dan penduduk kampung. – BH Online –
IMedikel TV






