SHAH ALAM: Memetik laporan menerusi Berita Harian usahawan dan personaliti media sosial, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman meluahkan rasa terkilan apabila usaha dan wang ringgit dicurahkan dalam bidang muzik tidak mendapat penghargaan, sebaliknya menerima kecaman dan sindiran.
Aliff berkata, sebagai usahawan yang menceburi bidang muzik tanpa sokongan label atau pengurusan profesional, hampir keseluruhan kos penerbitan lagu ditanggung sendiri.
“Orang lain buat lagu ada penaja, label, pengurus dan pasukan pemasaran. Saya buat lagu sendiri, tanpa pengurus, tanpa label.
“Saya sebenarnya hasilkan lagu untuk kepuasan diri, tetapi saya tetap mengharapkan sokongan dan sedikit belas kasihan daripada masyarakat untuk menghargai bakat saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi cawangan pertama Juz Coffee di Seksyen 13, di sini, semalam.
Menurut Aliff, proses rakaman dan penerbitan lagu bukan sesuatu yang mudah, malah menuntut perbelanjaan yang tinggi.
Pemilik empayar perniagaan kosmetik dan produk kesihatan D’Herbs itu mendedahkan beliau sudah membelanjakan lebih RM1 juta bagi menerbitkan 10 lagu sejak mula aktif dalam bidang muzik.
“Untuk merakam sebuah lagu bukan murah. Setiap lagu boleh menelan belanja lebih RM100,000 termasuk bayaran penari, komposer, pemuzik, penulis lirik dan syarikat rakaman.
“Namun apa yang saya terima hanyalah cacian dan makian. Apa salah saya sebenarnya? Kenapa bakat saya tidak dihargai?” katanya.
Aliff turut mendakwa walaupun sudah menghiburkan rakyat Malaysia hampir sedekad, penghargaan terhadap bakatnya masih dirasakan tidak seimbang.
“Saya sudah menghiburkan rakyat Malaysia selama 10 tahun, tetapi masih ada yang menghina dan memperlekehkan saya. Saya cuma mahu menunjukkan bakat.
“Walaupun tanpa label dan pemasaran besar, lagu saya tetap tular. Dalam talian, berjuta-juta orang menonton. Itu bukti ada yang menyukai suara saya, tetapi stesen televisyen dan radio pula tidak mahu memutarkan lagu saya.
“Saya cuma minta satu perkara sahaja, dengar dan hargai bakat saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aliff memaklumkan beliau bakal melancarkan tiga single baharu sempena Aidilfitri tahun ini yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sepanjang 10 tahun terbabit dalam bidang muzik, Aliff sudah merakamkan 10 lagu termasuk Biar Apa Orang Kata, Abang Nak Tegur, Bobo Di Manaa lagu raya seperti Kelepok Raya dan Chu Ku Chuk Raya. – BH Online –
IMedikel TV






