Home Hiburan LAGU RAYA GEN Z ASPIRASI ANAK MUDA SAMBUT LEBARAN

LAGU RAYA GEN Z ASPIRASI ANAK MUDA SAMBUT LEBARAN

496
0

KUALA LUMPUR: Gandingan empat gadis remaja, iaitu Alyssa Dezek, Ara Aziz, Qadejah dan Cik B dalam projek single Raya Gen Z pantas menambat hati kelompok seusia, melalui melodi dan lirik mencuit hati.

Siapa sangka idea spontan ketika mereka menjalani penggambaran program terbitan Astro, Gerak Geri Gen Z di Istanbul, Turkiye, tahun lalu, ‘menjadi’ sehingga sedutan single itu kerap digunakan pelayar media sosial sebagai muzik latar.

Biarpun kali pertama digandingkan, empat remaja yang popular dalam media sosial ini mudah membentuk keserasian, malah kini bergelar sahabat karib.

Sebagai penyanyi remaja yang memiliki banyak pengalaman, Alyssa, 17, berkata proses rakaman single Raya Gen Z lancar.

“Lagu ini sebenarnya dihasilkan untuk berseronok,” katanya pada sidang media lagu Raya Gen Z di sini, baru-baru ini.

Bekas peserta program realiti kanak-kanak, Ceria All-Star dan Ceria Megastar ini berkongsi, mereka tidak terlalu serius dalam membuat persiapan, sebaliknya sekadar bersantai.

“Kami tidak masuk kelas vokal. Ibu saya bimbing kami bawa lagu ini dengan gaya santai dan menghiburkan,” katanya.

Sementara itu, Qadejah, 15, yang juga anak usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, mengakui tidak berbakat dalam bidang nyanyian. Namun, lagu Raya Gen Z memberi pengalaman baharu, selain tidak menyangka karya itu tular.

“Saya belajar banyak perkara dalam projek single ini. Kami tidak sangka single Raya Gen Z tular.

“Kami terkejut kerana ramai pelayar gunakan lagu ini sebagai muzik latar, biarpun ketika itu, single ini belum dilancarkan secara rasmi,” katanya.

Cik B atau nama sebenar, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 20, yang menyumbang bahagian rap dalam Raya Gen Z berkata, projek itu meninggalkan memori indah buatnya.

“Sekarang saya dapat kawan perempuan. Apabila tunjuk sifat kewanitaan, saya rasa sangat berbeza. Kami juga rapat hinggakan kumpulan WhatsApp tidak pernah ‘kering’.

“Ada sahaja perbualan antara kami setiap hari, tidak kisah topik apa sekalipun,” kata anak usahawan Datuk Seri Vida ini.

Bagi Ara, 14, yang juga anak pengarah tersohor, Aziz M Osman, dia bersyukur projek single Raya Gen Z disokong keluarga.

“Saya pernah terbabit dengan projek single, tetapi kali ini bebeza. Ibu adalah penerbit untuk lagu ini dan beliau pencetus idea.

“Ayah nasihatkan saya teruskan sahaja dan abai mereka yang melempar kata buruk. Saya juga tidak mahu ambil peduli dengan sesiapa yang membenci,” katanya.

Video muzik lagu Raya Gen Z disiarkan secara rasmi di YouTube Mask Team sejak Jumaat lalu. Single ini boleh didengari di semua platform digital muzik dan media sosial. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here