TEHRAN: Tentera laut Iran, Russia dan China akan mengadakan latihan ketenteraan di perairan berhampiran pantai Iran minggu ini bagi memperkukuh kerjasama, lapor media Iran pada Ahad.
Ketiga-tiga negara yang berkongsi matlamat untuk menyaingi apa yang mereka anggap sebagai hegemoni Amerika Syarikat (AS) itu, pernah menjalankan latihan sama di rantau ini dalam beberapa tahun kebelakangan.
Latihan berkenaan ‘akan bermula pada Selasa di pelabuhan Chabahar’, yang terletak di tenggara Iran berdekatan Teluk Oman, menurut agensi berita Tasnim tanpa menyatakan tempoh latihan itu.
“Kapal perang serta kapal tempur dan sokongan tentera laut China serta Russia, termasuk kapal perang tentera laut Iran dari angkatan tentera dan Pengawal Revolusi Iran dijangka mengambil bahagian,” lapor Tasnim.
Latihan itu akan diadakan ‘di utara Lautan Hindi’ dan bertujuan untuk ‘mengukuhkan keselamatan serantau serta memperluas kerjasama pelbagai hala antara negara yang menyertainya’, menurut laporan sama.
Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Moscow akan diwakili oleh dua korvet dan sebuah kapal tangki dari Armada Pasifik.
“Sepanjang beberapa hari di utara Lautan Hindi, kru akan melaksanakan latihan membebaskan kapal yang dirampas, mencari dan menyelamat di laut serta menjalankan tembakan artileri ke arah sasaran laut dan udara,” menurut kenyataan itu.
Azerbaijan, Afrika Selatan, Oman, Kazakhstan, Pakistan, Qatar, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Sri Lanka akan turut hadir sebagai pemerhati.
China pula akan menghantar ‘sebuah kapal pemusnah dan kapal pembekal’, menurut Kementerian Pertahanan negara itu menerusi platform media sosial WeChat.
Tentera Iran sebelum ini turut mengadakan latihan di kawasan sama pada Februari lalu bagi ‘memperkukuh keupayaan pertahanan menghadapi sebarang ancaman’. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






