Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup 42,700 biji kelapa membabitkan nilai rampasan RM1.2 juta di stor pangkalan haram, Pengkalan Kubor, pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan turut melibatkan tiga lelaki tempatan yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa ke Thailand.
“Berdasarkan pemeriksaan, sebanyak 42,700 biji kelapa ditemui di dalam sebuah treler yang dibawa oleh tiga lelaki tempatan yang berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun.
“Rampasan dilakukan oleh Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan jam 10.30 malam, pada Jumaat,” katanya.
Jelasnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM1.2 juta termasuk sebuah treler yang dirampas.
Kes tersebut disiasat mengikut Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA).
“Ketiga-tiga suspek dan barang rampasan dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Tambahnya, PGA terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.
IMedikel TV






