Home Sukan CHELSEA RAMPAS SEMULA TANGGA KEEMPAT

CHELSEA RAMPAS SEMULA TANGGA KEEMPAT

140
0

LONDON: Chelsea mengukuhkan peluang layak ke Liga Juara-Juara ketika gol roket Marc Cucurella memastikan kemenangan 1-0 ke atas Leicester, manakala Tottenham bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 dengan Bournemouth lewat malam tadi.

Cucurella meledak masuk selepas sejam di Stamford Bridge untuk melonjak Chelsea di atas Manchester City di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Blues unggul dua mata di depan City dalam perebutan penamat empat teratas yang memastikan tempat ke Liga Juara-Juara.

Ia hanya kemenangan keempat Chelsea dalam 12 perlawanan terakhir liga ketika mereka menerima cabaran bos Enzo Maresca untuk memenangi semua baki perlawanan di gelanggang sendiri.

Cole Palmer gagal menyudahkan satu penalti buat Chelsea dan kemudian digantikan, menjadikannya tujuh perlawanan liga tanpa gol atau umpanan gol di tengah-tengah kritikan terhadap kemerosotan prestasi penyerang England itu.

Di Stadium Tottenham Hotspur, Bournemouth terlepas peluang untuk mencerahkan peluang berada dalam kelompok empat teratas ketika tuan rumah menyelamatkan air muka bos Ange Postecoglou daripada satu lagi kekalahan mengaibkan.

Tottenham tumpas 1-0 di AZ Alkmaar pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Europa Khamis lalu.

Menghuni tangga ke-13 EPL, pasukan Postecoglou tidak menang tiga perlawanan dalam semua pertandingan.

Spurs ketinggalan dua gol menerusi jaringan Marcus Tavernier pada minit ke-42 dan Evanilson pada minit ke-65.

Postecoglou memasukkan Son Heung Min selepas rehat dalam usaha menyemarakkan serangan Tottenham dan pemain Korea Selatan itu menjadi penyelamat apabila dia menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 bagi gol penyamaan selepas Pape Sarr mengurangkan defisit pada minit ke-67. – AFP, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here