GAZA: Sekurang-kurangnya 98 rakyat Palestin dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan Israel sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, menurut sebuah kumpulan hak asasi semalam.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, kumpulan itu mendakwa berlaku penyeksaan dan pengabaian rawatan perubatan terhadap tahanan, sambil menggesa siasatan antarabangsa dijalankan.
Laporan oleh Physicians for Human Rights Israel (PHRI) bertajuk ‘Death Sentence for Palestinians in Custody’ menyatakan sekurang-kurangnya 46 kematian berlaku di fasiliti Perkhidmatan Penjara Israel, manakala 52 lagi dari Semenanjung Gaza, iaitu meninggal dunia dalam tahanan tentera.
Menurut laporan itu, layanan terhadap tahanan berkenaan berterusan meskipun gencatan senjata di Gaza diumumkan bulan lalu.
Kumpulan berasaskan doktor Israel itu menyifatkan angka berkenaan sebagai sesuatu yang luar biasa dan berkemungkinan lebih tinggi.
PHRI berkata, penemuan awal bedah siasat serta testimoni menunjukkan corak penderaan serius, termasuk kecederaan kepala, pendarahan dalaman dan tulang rusuk patah, selain kekurangan zat makanan yang teruk dan penafian rawatan yang boleh menyelamatkan nyawa.
Laporan itu menggesa siasatan antarabangsa bebas bagi mengenal pasti punca kematian serta memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Jurucakap tentera Israel berkata, prosedur penahanan mematuhi undang-undang Israel dan antarabangsa. Israel turut mengakui berlaku kematian tahanan — sebahagiannya disebabkan penyakit atau kecederaan sedia ada — dan menegaskan setiap kes disiasat polis tentera.
Jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel pula berkata, perkhidmatan itu beroperasi di bawah pengawasan undang-undang, menjamin hak banduan dan menyiasat semua kematian dalam tahanan.
Perkhidmatan itu menafikan dakwaan layanan seperti yang dilaporkan dan menyatakan pihaknya tidak mengetahui insiden seperti yang digambarkan.
Ia turut memaklumkan mengenai kerjasama terbaharu dengan Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Penyeksaan.
PBB dan kumpulan hak asasi sebelum ini beberapa kali menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan tahanan Palestin sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza, sebelum gencatan senjata dicapai bulan lalu. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






