Home Hiburan ‘MAINAN’ PIHAK KETIGA CETUS KONFLIK

‘MAINAN’ PIHAK KETIGA CETUS KONFLIK

Nama pengarah Osman Ali tentunya tidak lagi asing dalam kalangan peminat filem dan drama tanah air. Terbaharu, Osman mengarahkan drama berjudul Bahagia Yang Tertangguh.

Memetik laporan Harian Metro, naskhah yang diadaptasi daripada novel berjudul sama tulisan Rissa Ahdiya ini mula ditayangkan di Astro Ria mulai semalam dengan menyajikan jalan cerita berbeza daripada kebiasaan.

“Syukur, Alhamdulillah atas peluang untuk saya mengarahkan karya ini. Saya tertarik dengan tema drama ini yang mana, bukan tema drama curang seperti mana yang pernah saya hasilkan atau tonton.

“Ia mengenai campur tangan pihak yang tak sepatutnya memporak-perandakan rumah tangga. Ada pihak bersifat negatif, yang mencetuskan masalah dalam rumah tangga,” katanya.

Menurutnya, proses penggambaran adalah satu pengalaman berbeza kerana buat kali pertama bekerja dengan pelakon-pelakon hebat.

“Untuk drama ini, saya rasa sangat bertuah sebab dapat bekerja dengan barisan pelakon yang saya tak pernah bekerjasama sebelum ini.

“Pengalamannya hebat kerana kami berkongsi pendapat dan idea yang berbeza. Ia satu pengalaman menarik,” katanya.

Bagi teraju utama, Nad Zainal, drama yang ditulis penulis skrip, Oka Aurora ini membawa elemen kuasa dan kekuatan wanita yang ditindas.

“Saya beli dan baca novel pertama untuk memahami jalan ceritanya. Watak sebagai Nurin Hana sedikit sebanyak ada elemen wanita yang kuat dan tabah, mewakili wanita moden.

“Dia adalah wanita yang banyak membantu rumah tangga terutamanya dari sudut kewangan. Saya sendiri pun banyak mendengar kisah begini daripada rakan-rakan untuk menjelmakan watak itu,” katanya.

Katanya, watak Nurin Hana akan membuktikan bahawa dia bukanlah wanita yang lemah dan tidak akan bangkit apabila ditindas.

“Ini bukan watak wanita yang ‘lembik’ seperti kebiasaan. Ada elemen ‘women’s empowerment’.

“Sewaktu menerima naskhah ini, saya terus menghubungi penulis skrip, Oka Aurora. Dia berikan kepercayaan 100 peratus kepada saya.

“Mungkin saya sudah terlalu serasi dengan watak isteri yang dominan, tapi dalam cerita ini, anda akan dapat lihat fasa perkembangannya,” katanya.

Manakala, pelakon utama iaitu Izzue Islam berkata, peluang memegang watak antagonis sebagai Zakwan adalah tawaran yang dinanti-nantikan.

“Saya sangat sukakan watak antagonis, tapi saya akui tawarannya agak terhad. Ada yang beranggapan, wajah saya tak cukup ‘jahat’.

“Apabila ditawarkan untuk watak sebagai Zakwan, saya tanya bagaimana coraknya. Saya sangat berbesar hati kerana diberi kepercayaan membawakan watak ini.

“Rujukan tak banyak, jadi saya hanya baca skrip dan baca semula novelnya. Kerisauan saya adalah setiap orang tentunya ada imaginasi tersendiri untuk watak.

“Jadi, saya kena gabungkan pelbagai idea dan pendapat, wujudkan Zakwan versi drama,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here