Kuala Lumpur: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan sekali gus meningkatkan peluang meraih pingat pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua jurulatih pecut kebangsaan, Thabo Matebedi percaya kuartet yang dibarisi Pengiran Aidil Auf Hajam, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Muhammad Umaira Subri dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi memiliki kemampuan untuk mencatat masa bawah 39 saat (s).
Katanya, sasaran berkenaan realistik berdasarkan prestasi semasa atlet negara yang menunjukkan peningkatan, termasuk ketika muncul juara Grand Prix Muscat 2026 di Oman baru-baru ini dengan catatan 39.18s.
“Sasaran saya untuk acara 4x100m lelaki adalah catatan bawah 39 saat. Saya percaya mereka mempunyai bakat dan kepantasan. Mereka cuma perlu kekal komited serta mempunyai keinginan tinggi ketika hari pertandingan.
“Selepas itu, kita lihat apa yang boleh berlaku. Tetapi sasaran utama adalah mencatat bawah 39 saat,” katanya.
Rekod kebangsaan ketika ini dipegang kuartet Jonathan Nyepa, Danish, Pengiran Aidil dan Aliff Iman Mohd Fahmi dengan catatan 39.03s yang dilakukan pada Sukan SEA Thailand 2025.
Matebedi percaya saingan sengit di Sukan Asia mampu membantu kuartet negara memecahkan rekod kebangsaan berbanding ketika beraksi di Oman yang menyaksikan mereka jauh meninggalkan pencabar.
“Mereka berlari 39.18s (di Oman) dan ketika itu mereka berada jauh di hadapan tanpa tekanan. Di Sukan Asia nanti, China dan Thailand akan memberikan persaingan lebih kuat.
“Saya percaya dalam keadaan tertekan dan dengan persaingan sebenar, mereka mampu memecahkan rekod,” katanya.
Mengulas peluang meraih pingat, Matebedi berkata, dia hadir ke Aichi-Nagoya dengan mentaliti untuk bersaing dan percaya kuartet negara mampu mencabar kelompok terbaik Asia.
“Saya tidak begitu mengetahui mengenai Sukan Asia sebelum ini, tetapi sebagai seorang pesaing, sudah tentu saya mahu berada di podium. Itu sebab saya berada di sini,” katanya.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, kuartet negara yang dibarisi Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan dan Azeem melangkah ke final selepas mencatat 39.04s di pusingan saringan.
Bagaimanapun, penyertaan mereka dalam final dibatalkan akibat pelanggaran lorong, selepas terlebih dahulu merekodkan 39.19s untuk menduduki tempat kelima.
Pingat emas acara itu dimenangi China dengan catatan 38.29s, diikuti Jepun (38.44s) dan Korea Selatan (38.74s).-HMetro Online-
IMedikel TV






