Kuala Lumpur: Mendapat semula nikmat kesihatan dan kembali bekerja sejak Mei lalu membuatkan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 65, bersyukur tidak terhingga sekali gus perlu menjaga pemakanan harian.
Memetik laporan Harian Metro, Helmi atau nama sebenar Harun Tahir berkata, sebagai individu pernah disahkan menghidap kanser tahap empat, kesembuhan dalam tempoh singkat adalah rezeki daripada Allah.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang semakin baik. Sejak Mei lalu, kira-kira sudah lima bulan saya kembali aktif bekerja. Jadual pun padat dan saya akan terbang ke Singapura untuk memenuhi acara di sana.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah sudah memberikan kesihatan yang baik dan saya pun boleh bekerja semula. Urusan temujanji pemeriksaan doktor pun sekarang hanya sebulan sekali dan ubat saya perlu makan satu jenis sahaja.
“Apa pun gaya hidup saya sekarang memang berubah iaitu fikiran mesti positif, hari-hari bangun awal bersenam, jaga makan minum dan tidur awal biasanya jam 9.30 malam setiap hari,” katanya.
Menurutnya, amalan konsistensi yang dilakukan menyebabkan dia berasa amat bersyukur di atas segala nikmat daripada Allah.
Katanya, dia sentiasa meneruskan rutin harian demi menjaga kesihatan agar kekal sihat untuk terus bekerja.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua yang mendoakan untuk pulih ketika berhadapan ujian kesihatan pada tahun lalu hingga perlu menjalani pembedahan akibat kanser buah pinggang,” katanya.
Sebelum ini, Helmi menjalani pembedahan bagi membuang buah pinggang kirinya di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang pada 9 Januari lalu dan dibenarkan pulang ke rumah pada 19 Januari 2026.
Helmi yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam industri sebagai pengacara majlis fasih bertutur dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia serta sedikit bahasa Perancis.-HMetro Online-
IMedikel TV






