Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN LUPUS BARANG RAMPASAN BERNILAI LEBIH RM600,000

KPDN KELANTAN LUPUS BARANG RAMPASAN BERNILAI LEBIH RM600,000

144
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melupuskan barangan rampasan bernilai lebih RM600,000 melibatkan 99 kes keseluruhan sejak Januari tahun lepas hingga kini.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata pelupusan itu melibatkan barangan rampasan yang telah selesai menjalani proses mahkamah dan arahan pengawal untuk dilupuskan termasuk kenderaan.

“Bagaimanapun, hari ini kita akan melupuskan sebanyak 19 kes sahaja di sini dengan jumlah RM299,000 tetapi jumlah pelupusan keseluruhan yang akan kita buat adalah RM607,000 melibatkan barangan kenderaan yang tidak dapat dipindahkan ke stor pelupusan.

“Antara barangan yang kita buat pelupusan hari ini termasuk pakaian tiruan, wangian, aksesori pakaian wanita, peralatan komputer, beg tiruan dan sachet minuman pra campuran dan semuanya di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Program Pelupusan Barang Kes KPDN di Stor Penyimpanan Barang KPDN di Kandis, di sini hari ini.

Azman berkata, pelupusan ini melibatkan lima Akta berkaitan iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau turut menegaskan kepada peniaga dan pengguna agar tidak terlibat dalam mana-mana penjualan mahupun pembelian barangan tiruan bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan terutamanya melalui pembelian atas talian.

“Mana-mana individu yang tidak mengikut perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan tolong ambil perhatian.

“Sebab kami tidak akan berkompromi terutamanya yang mempunyai cap dagang sebab apabila ada aduan daripada orang awam atau pemilik cap dagang kami terpaksa ambil tindakan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata setakat ini sebanyak 60 kenderaan yang dirampas telah dilupuskan kerana menyalahi undang-undang termasuk melakukan pengubahsuaian di kenderaan dan terdapat tangki minyak tambahan.

Tambah Azman, pihaknya juga mengambil inisiatif mengadakan `Kita Gempur‘ untuk mendapatkan maklumat aduan serta kerjasama sebanyak mungkin daripada pengguna menerusi atas talian.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here