Home Hiburan KONSERT MINI HKI GEGAR TITIWANGSA

KONSERT MINI HKI GEGAR TITIWANGSA

32
0

Bersempena Hari Keselamatan Internet 2026 (HKI) yang berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini, antara acara paling dinantikan semestinya konsert mini membabitkan beberapa artis ternama.

Memetik laporan Harian Metro, acara bermula sekitar 3.45 petang itu jelas menjadi tarikan terutama pengunjung daripada kalangan belia, sekali gus menghangatkan lagi suasana program berkenaan.

Menampilkan penyanyi Kaka Azraff, Ismail Izzani, Kmy Kmo & Luca Sickta, Leaism dan Insomniacks, khemah utama terus sesak dengan peminat masing-masing sebelum acara bermula.

Lebih mencuri tumpuan adalah band Insomniacks yang menjadi artis penutup. Ternyata persembahan mereka cukup dinantikan peminat fanatik yang sanggup tunggu sampai hujung acara.

Sebaik kelibat mereka muncul di pentas, suasana serta-merta bertukar gempita dengan sorakan peminat. Sekali gus, membuktikan betapa besar pengaruh band yang popular dengan lagu Pulang itu.

Penyanyi utamanya, Iqie juga sempat berterima kasih kepada semua yang hadir menyokong acara terbabit. Bahkan, dia sempat berpesan dan memberi kesedaran mengenai penggunaan internet.

“Semoga kita sentiasa berhemah dan sentiasa memantau orang terdekat dalam penggunaan internet harian. Terima kasih juga datang sokong dan berhibur dengan persembahan kami,” katanya.

Ketika mendendangkan lagu berhantu mereka, Pulang, jeritan kuat peminat menyanyikan bersama lagu berkenaan jelas menyentuh hati setiap anggotanya. Persembahan dipamerkan pun bertenaga.

Demikian juga penghibur lain yang turut memberi energi sama. Meskipun sekadar konsert mini, tapi corak persembahan diberikan sama seperti beraksi di acara berprestij dan besar.

Selain mereka, pada sebelah pagi juga, penyanyi ikonik, Datuk Jamal Abdillah dan Faizal Tahir membuat penampilan. Kemeriahan HKI 2026 lebih terasa dengan kehadiran nama popular itu.

Program berlangsung sehari itu menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan informatif. Kemuncak program berkenaan dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Bertemakan ‘Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab’, acara anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menawarkan panduan praktikal bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk anak-anak.

HKI 2026 diadakan sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara, bertujuan mempromosi penggunaan internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here