Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan kadar zakat fitrah di Kelantan bagi tahun ini sebanyak RM10 seorang.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun individu yang ingin membayar zakat fitrah pada kadar RM22 berdasarkan harga dan jenis beras yang dimakan adalah digalakkan berbuat demikian.
Menurutnya, kadar nisab zakat harta pula ditetapkan sebanyak RM37,401 bagi tempoh haul antara Ramadan 1447H hingga Ramadan 1448H.
“Pembayaran zakat boleh dilaksanakan melalui kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar dan jajahan atau menerusi portal rasmi MAIK di zakat.e-maik.my.
“Ketetapan kadar zakat fitrah dan zakat harta ini telah mendapat perkenan Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
MAIK berharap semua pihak mengambil maklum mengenai ketetapan tersebut serta bersama-sama mengimarahkan Ramadan 1447H dengan amalan soleh dan menunaikan tanggungjawab berzakat sebagaimana yang difardukan.
IMedikel TV






