JAKARTA: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian keadaan jalan dipenuhi sampah, manakala tapak pelupusan terlalu sesak dan wujud kebimbangan ‘runtuhan’ bahan buangan adalah antara situasi sering ‘menghantui’ kawasan pusat bandar Jakarta.
Keresahan itu membayangi bandar metropolis paling padat di dunia, Jakarta dan bandar satelit yang secara kolektif dikenali sebagai Jabodetabek dengan 42 juta penduduk.
Biarpun sedang bergelut dengan krisis sisa pepejal, bandar itu dianggar masih menghasilkan sehingga 14,000 tan sampah sehari, menyebabkan lonjakan tekanan ke atas kira-kira lapan tapak pelupusan di rantau itu yang keseluruhannya hampir atau sudah penuh.
Mengulas isu itu, pakar berpandangan, antara punca krisis berkenaan ialah pertambahan penduduk, peningkatan pendapatan yang mendorong penggunaan lebih tinggi serta kekurangan kronik dalam pengasingan dan penguatkuasaan pelupusan.
Selain itu, kapasiti tapak pelupusan Bantar Gebang, iaitu antara tapak pelupusan terbuka terbesar di dunia dengan keluasan 110 hektar juga didakwa menyumbang kepada isu terbabit.
Tanpa memperincikan keluasan Bantar Gebang masih belum digunakan, pegawai agensi alam sekitar tempatan berkata, tapak terbabit kini menampung kira-kira 55 juta tan sampah, selain memaklumkan terdapat laporan menyatakan ia sudah melebihi kapasiti.
Sementara itu, hasil tinjauan dekat Tangerang Selatan mendapati beberapa pejalan kaki berasa mual serta menepis lalat yang menghurung ketika melintasi jalan dipenuhi sampah.
Berdasarkan kerajaan tempatan, Tangerang Selatan menghasilkan 1,100 tan sampah sehari, manakala tapak pelupusan terdekat hanya mampu menampung 400 tan sisa pepejal terbabit.
Krisis sisa pepejal itu berlaku merentasi lokaliti dekat ibu negara, menyebabkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi amaran, hampir keseluruhan tapak pelupusan akan penuh (atau melebihi kapasiti), menjelang 2028.
Malah, sebahagian rakyat masih membuang sampah secara terbuka, selain bahan buangan itu sering dibakar, mengakibatkan pelepasan bahan pencemar berpotensi berbahaya.
Tapak pelupusan melebihi kapasiti juga membawa risiko tambahan.
Pada 2022, timbunan sampah setinggi 30 meter di tapak pelupusan di Cipayung, Jawa Barat, mencetuskan tanah runtuh dan menjejaskan sungai, mengakibatkan jambatan tenggelam ke kampung berhampiran.
Penduduk tempatan kini terpaksa bergantung kepada rakit sementara dihasilkan daripada tong plastik dan papan lapis untuk menyeberang sungai.
Sementara itu, kajian Universiti Indonesia mendapati tapak pelupusan Cipayung sudah melebihi kapasiti, sejak 2014.
Pada 2005, seramai 143 orang maut akibat ‘runtuhan’ sampah di satu lagi tapak pelupusan di Cimahi, yang dicetuskan oleh letupan gas metana dan hujan lebat.
Sehubungan itu, kerajaan merancang untuk menutup beberapa tapak pelupusan secara kekal, termasuk yang terletak di Tangerang Selatan dan Cipayung.
Kerajaan juga sedang mempromosi loji pembakaran sampah yang menghasilkan tenaga untuk menjana elektrik dengan 34 tapak dirancang dibangunkan dalam tempoh dua tahun.
Prabowo minggu lalu, menyifatkannya pelaburan besar dan bernilai hampir AS$3.5 bilion (RM13.65 bilion) .
Namun, wakil kumpulan alam sekitar WALHI, Wahyu Eka Styawan, berkata rancangan pembinaan loji itu dijangka tidak mampu menyelesaikan isu kekurangan pengasingan dan kitar semula.
Bagi pakar pengurusan sisa di Universiti Gadjah Mada, Nur Azizah, kegagalan kerajaan mendidik orang ramai serta kekurangan penguatkuasaan undang-undang adalah antara punca krisis terbabit.
“Masalahnya ialah corak penggunaan. Justeru, isu perlu diperbaiki ialah cara penggunaan,” katanya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






