LOS ANGELES: Tiger Woods memaklumkan dia masih belum mempunyai garis masa khusus untuk kembali beraksi, namun juara 15 kali kejohanan major itu tidak menolak kemungkinan beraksi di Masters 2026 sambil mempertimbangkan penyertaan dalam Jelajah Juara-Juara bagi pemain berusia 50 tahun ke atas.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Woods yang menyambut ulang tahun ke-50 pada 30 Disember lalu menjalani pembedahan penggantian cakera tulang belakang pada Oktober, pembedahan terbaharu dalam siri kecederaan dan rawatan yang menyaksikan dia tidak beraksi sejak Terbuka British 2024.
“Ia proses harian. Saya terus mencuba dan menunjukkan perkembangan.
“Saya terus berlatih untuk menjadi lebih kuat, meningkatkan daya tahan badan dan cuba kembali ke tahap tertinggi.
“Saya boleh lakukan, cuma bukan setiap hari pada tahap terbaik,” katanya sambil menjelaskan dia kini sudah beralih daripada latihan pukulan pendek kepada pukulan penuh.
Walaupun masih belum pasti, Woods menjelaskan Masters yang berlangsung 9 hingga 12 April di Augusta National masih berada dalam perancangannya.
Woods memenangi lima gelaran Masters dengan kejayaan terakhir pada 2019 yang menamatkan kemarau 11 tahun tanpa gelaran major.
Dia mengalami kecederaan kaki serius dalam kemalangan kereta pada 2021, namun kembali beraksi di Masters 2022 dan menamatkan saingan di tangga ke-47.
Bintang veteran itu menjalani pembedahan belakang pada September 2024 sebelum mengumumkan pada Mac 2025 bahawa dia mengalami kecederaan tendon Achilles yang koyak.
Woods menjelaskan kecederaan itu tidak lagi menjadi masalah, namun pembedahan penggantian cakera tulang belakang memberi cabaran besar untuk kembali pulih sepenuhnya.-Agensi, HMetro Online-
IMedikel TV






