Home Sukan GALATASARAY PESTA GOL, JUVE TERSUNGKUR DI ISTANBUL

GALATASARAY PESTA GOL, JUVE TERSUNGKUR DI ISTANBUL

224
0

ISTANBUL: Pemain tengah Belanda, Noa Lang meledak dua gol ketika Galatasaray membelasah Juventus 5-2 dalam aksi penuh dramatik pada perlawanan pertama play-off Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, dalam suasana tegang di Istanbul, Juventus kendalian Luciano Spalletti sebenarnya mendahului 2-1 pada babak pertama selepas Teun Koopmeiners membalas jaringan awal pemain Brazil, Gabriel Sara dengan dua gol peribadi.

Namun, keadaan berubah drastik pada babak kedua apabila bek kiri Colombia, Juan Cabal dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning.

Lang menambah dua gol, manakala Davinson Sanchez dan Sacha Boey turut mencatat nama sebagai penjaring untuk menenggelamkan ‘The Old Lady’ yang pulang ke Turin dengan kekecewaan besar.

“Kami mengundur beberapa langkah ke belakang,” kata Spalletti yang sebelum ini berjaya menyuntik nafas baharu kepada pasukan sejak mengambil alih pada hujung Oktober ketika Juventus berada di tangga ketujuh Serie A dan di luar kedudukan play-off UCL selepas gagal menang dalam tiga aksi awal.

“Kami menamatkan babak pertama dengan buruk. Kami cuba memperbaiki keadaan tetapi kurang personaliti dan karakter.

“Kad merah jelas memberi kesan besar, tetapi kami juga bersalah… Kami tidak menyedari bahaya daripada apa yang kami lakukan,” kata jurulatih berusia 66 tahun itu.

Kekalahan itu menjadi antara kekalahan kedua terbesar Juventus dalam saingan Eropah, selepas dibelasah 7-0 oleh Wiener Sport-Club pada 1958.

Sara membuka tirai jaringan menerusi rembatan kaki kiri dari dalam kotak penalti pada minit ke-15, namun kelebihan itu tidak bertahan lama.

Penjaga gol Galatasaray, Ugurcan Cakir hanya mampu menepis tandukan kencang Khephren Thuram sebelum bola jatuh tepat kepada Koopmeiners yang mudah menolak masuk gol penyamaan seminit kemudian.

Koopmeiners kemudian meledak gol kedua pada minit ke-32 menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti hasil gerakan satu-dua bersama pemain tengah Amerika Syarikat, Weston McKennie.

Itu detik terbaik buat pelawat sebelum mereka tenggelam pada babak kedua.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here