Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Seorang anggota bomba Unit Storm dan Hazmat Bayan Baru, Pulau Pinang, bersama adiknya dikhuatiri lemas di Pantai Kandis, Bachok, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pada awalnya, kedua-dua mangsa bersama 20 ahli keluarga yang lain ke pantai itu untuk berkelah.

Namun katanya, kegembiraan itu bertukar tragedi apabila dua ahli keluarga mereka Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21, dan anak saudaranya, Mohd Ali Al-Imran Mohd Ezad, 12, dipercayai lemas.
“Melihat kejadian itu, anggota bomba, Ahmad Badrul Naim AB Wahab, 32, dan abang iparnya Mohd Ezad Abu Hassan, 40, yang juga bapa kepada Mohd Ali Al-Imran bergegas cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa.
“Mohd Ali Al-Imran berjaya diselamatkan bapanya namun, Ahmad Badrul Naim yang cuba menyelamatkan adiknya, Ahmad Nuruddin pula hilang dikhuatiri lemas bersama adiknya,” katanya kepada pemberita, pada Selasa.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Mohd Ezad berkata, dia mendengar anaknya, Mohd Ali Al-Imran menjerit memanggilnya meminta tolong.
“Saya dan adik ipar seorang lagi (Ahmad Badrul) turun ke laut untuk selamatkan mereka dan saya sempat capai anak sebelum bawa ke darat, tapi bila toleh ke belakang adik ipar (Ahmad Badrul dan Ahmad Nurruddin) sudah hilang, tak tahu ke mana,” katanya.
IMedikel TV






