Home Hiburan ZARA ZYA DEDAH PENGALAMAN DIBULI PELAKON SENIOR

ZARA ZYA DEDAH PENGALAMAN DIBULI PELAKON SENIOR

231
0

KUALA LUMPUR: “Hahaha, kamu siapa? Orang tidak kenal kamu pun!”.

Memetik laporan menerusi Harian Metro itu antara kata-kata hinaan yang masih segar dalam ingatan pelakon, Zara Zya, 41, ketika mengimbas kembali memori pahit di awal pembabitannya dalam dunia seni.

Menerusi satu hantaran di Threads, pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin ini mendedahkan dia pernah menjadi mangsa buli seorang pelakon wanita senior yang hanya dikenali sebagai ‘J’.

Menurut Zara, kejadian berlaku sewaktu dia menjayakan sebuah telefilem di sebuah pusat beli-belah ketika namanya masih belum dikenali ramai.

“Pelakon itu seorang perempuan, namanya J. Ada beberapa peminat mahu bergambar dengannya, itu perkara biasa sebab dia dikenali.

“Namun yang menyedihkan, dia datang kepada saya dan mentertawakan saya di hadapan pasukan penggambaran,” katanya.

Zara berkata pelakon berkenaan secara terang-terangan memperlekehkan statusnya sebagai pelakon baharu yang tidak mempunyai pengikut.

“Dia ketawa sambil berkata, ‘Hahaha, kamu siapa? Orang tidak kenal kamu pun. Kamu tidak terkenal pun!’. Berkali-kali dia mengulanginya,” katanya.

Tambah Zara, dia terpaksa menahan sabar dan terus bersikap profesional sepanjang tujuh hari bekerja di bawah bumbung yang sama walaupun sering dihina dengan pelbagai kata-kata nista.

“Saya diam. Saya meneruskan kerja saya. Saya masih mentah lagi dalam industri pada masa itu. Apabila teringat perkara itu, saya sedih tetapi tidak menangis.

“Kesedihan itu terpendam dan membuatkan saya sentiasa beringat supaya jangan menghina atau memandang rendah terhadap orang lain,” katanya.

Zara menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran mengenai rezeki manusia yang tidak boleh dijangka dan memaklumkan bahawa pelakon wanita yang pernah menghinanya itu kini tidak lagi aktif dalam dunia lakonan.

“Kita tidak tahu bagaimana rezeki kita dan bagaimana nasib orang itu kelak. Oh, dia pun sudah tidak ada dalam industri lagi. Sekian,” katanya. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here