BANDAR GAZA: Di atas runtuhan bangunan kediaman enam tingkat di Abu Sufyan berhampiran Khan Yuunis di selatan Gaza, tergantung lampu pelita berwarna-warni.
Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro kanak-kanak memanjat dinding yang roboh dan menegangkan wayar antara khemah dan bangunan runtuh, bagi menghiasi lorong mereka untuk menyambut Ramadan pertama sejak gencatan senjata selepas dua tahun perang Israel yang memusnahkan Gaza.
Bagi penduduk, menggantung hiasan bukan sekadar tradisi bermusim, sebaliknya tindakan untuk menghidupkan kembali kehidupan, lapor Anadolu Ajansi.
Selama beberapa bulan, abu dan habuk menguasai kejiranan berkenaan dan kini sepanduk bertulis ‘Ramadan Mubarak’ dan ‘Selamat Datang Bulan Suci’ tergantung di lorong-lorong yang masih mempunyai kesan serangan.
Lampu merah dan kuning menembusi langit di sebalik bangunan yang retak, hiasan itu menggunakan jana kuasa kecil yang hanya beroperasi beberapa jam setiap malam, namun ia sudah mencukupi.
Kanak-kanak berlari antara khemah yang menggantikan rumah mereka, ketawa dan menguji lampu pelita yang terselamat bersama mereka daripada perang.
“Tradisi ini tidak pernah berhenti,” kata Yasser Al-Sattari, seorang penduduk tempatan yang mengawasi hiasan itu.
Sattari bukan saja kehilangan rumah, malah isteri, adik perempuan dan beberapa ahli keluarganya turut terkorban dalam serangan oleh tentera Israel.
“Kami enggan membiarkan perang mencuri kegembiraan Ramadan daripada anak-anak kami. Mereka sudah kehilangan terlalu banyak.
“Kami selamat. Itulah sebab kami meraikannya (Ramadan),” katanya.
Ramadan selama dua tahun berlangsung di dalam serangan dan kebuluran. Penduduk berjuang untuk mendapatkan makanan asas bagi iftar dan sahur sambil berpindah di seluruh wilayah, dengan ribuan masih hilang di bawah runtuhan.
Bekalan elektrik masih terhad di seluruh Gaza susulan Israel memotong bekalan kuasa dan mengehadkan kemasukan bahan api yang diperlukan untuk operasi loji kuasa tunggal di wilayah itu, walaupun gencatan senjata sudah berkuat kuasa. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






