Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kelantan sekali lagi dijangka menjadi tumpuan sepanjang Ramadan apabila tradisi berbuka puasa secara santai di tepi Sungai Kelantan dan pekarangan Masjid Muhammadi kembali mendapat sambutan, sekali gus menghidupkan konsep “Madinah Ramadan” yang semakin popular.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata konsep “Madinah Ramadan” yang tercetus sejak tahun lalu dijangka lebih mendapat sambutan apabila semakin ramai memilih berbuka puasa di kawasan terbuka berhampiran sungai dan lokasi tumpuan awam.
“Suasana berbuka puasa beramai-ramai khususnya di sekitar kawasan bandar dan di Masjid Muhammadi memberikan pengalaman seakan-akan berada di Madinah, sekali gus menjadi tarikan kepada pelancong domestik.
“Keunikan suasana berbuka di Masjid Muhammadi serta kemeriahan bazar dan aktiviti Ramadan mampu menjana perbelanjaan pelancong termasuk merancakkan ekonomi setempat apabila mereka berbelanja untuk makanan, penginapan serta produk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Pemain Industri Pelancongan dan Penggiat Seni Tahun 2025, di sini, semalam.
Kamaruddin berkata beliau menjangkakan tahun ini lebih ramai akan memilih untuk berbuka secara santai termasuk di tepi sungai dan sekitar masjid.
“Kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) turut menyediakan tempat khas untuk berbuka puasa kepada orang ramai dan tempat solat terawih Madinah Ramadan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV sepanjang bulan Ramadan.
“Madinah Ramadan ini menampilkan imam terawih dari timur tengah khususnya Mesir untuk mengimamkan solat Terawih di situ dan masyarakat sekitar dan luar dijemput mengimarahkannya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya melihat Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, tetapi juga memberi impak ekonomi yang signifikan kepada rakyat melalui perbelanjaan pelancong.
Katanya kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan akan memastikan aspek kebersihan dan kemudahan awam diberi perhatian bagi menjamin keselesaan pengunjung yang berbuka di kawasan terbuka.
Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata Kelantan turut memperkasa sektor pelancongan kesihatan dengan menyasarkan pasaran Indonesia, Singapura, Thailand dan Sabah menerusi hospital pakar swasta yang menawarkan kos rawatan lebih kompetitif.
“Antara hospital yang bersedia menawarkan perkhidmatan ialah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kota Bharu Medical Centre (KBMC) dan Hospital Pakar Perdana (KPJ).
“Walaupun jumlah pesakit antarabangsa masih belum tinggi, kemasukan dari Indonesia khususnya menunjukkan perkembangan positif dengan kekuatan utama Kelantan terletak pada kualiti perkhidmatan, manakala kita pula bantu dari segi promosi, yang dilihat akan menjadi daya tarikan utama pelancongan kesihatan negeri,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri turut menjenamakan semula Tourism Information Centre (TIC) kepada “Tourism Kelantan” bagi mencerminkan peranan lebih menyeluruh meliputi pengurusan pelancongan, kebudayaan dan kesenian, dengan penstrukturan semula akan dilakukan secara berperingkat.
IMedikel TV






