Home Buletin Semasa SOFEA GROUP JALIN KERJASAMA BERSAMA IMEDIKEL PEROLEH MESIN PERUBATAN BERDAFTAR

SOFEA GROUP JALIN KERJASAMA BERSAMA IMEDIKEL PEROLEH MESIN PERUBATAN BERDAFTAR

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sofea Group menjalin kerjasama strategik bersama IMedikel bagi memperoleh mesin-mesin perubatan yang berdaftar serta mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menerusi kerjasama itu, IMedikel bertindak sebagai Authorized Representative (AR) yang berdaftar dengan Medical Device Authority (MDA) dan mengurus aspek pendaftaran serta pematuhan regulatori, manakala Sofea Group berperanan menggunakan mesin berdaftar itu kepada 90 cawangan rangkaian spa dan klinik miliknya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sofea Group, Dr Mohamad Shahid Izani, mesin-mesin tersebut diperlukan untuk kegunaan di medispa dan klinik pergigian bagi menawarkan servis yang lebih lengkap.

“Keperluan mesin bergantung kepada jenis klinik dan spa.

”Bagi klinik pergigian, ia termasuk mesin untuk kerusi pergigian, mesin pensterilan (autoclave), mesin cuci gigi (painless scaler), dental loupe, X-ray (cbct, OPG) dan lain-lain.

”Manakala bagi spa dan klinik estetik pula, mesin seperti picolaser, diode laser, HIFU (High-Intensity Focused Ultrasound), mesin pengesan muka(facial scanner) dan lain-lain diperlukan mengikut jenis rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani MoU antara IMedikel dan Sofea Group, di Wisma Imedikel di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden IMedikel, Yusmat Mamat dan Naib Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria pada majlis tersebut.

Beliau berkata, selain digunakan di cawangan Sofea Group, pihaknya juga akan mengedarkan mesin berkenaan kepada rangkaian spa dan klinik pergigian lain yang berminat.

Katanya, mesin-mesin itu akan diimport oleh IMedikel dari Jerman, United Kingdom, Korea dan negara lain, dengan kelulusan MDA dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan pengguna.

“Dengan adanya mesin berlesen KKM, pengguna mendapat servis yang lebih selamat,” katanya.

Selain itu, Sofea Group turut bekerjasama dengan IMedikel untuk menghasilkan produk ’premium’ bagi kegunaan di spa, klinik gigi dan klinik perubatan.

“Kami memerlukan produk ’premium’ daripada syarikat farmasi atau pengeluar produk perubatan yang dipercayai, selamat dan berkualiti seperti IMedikel,” jelas beliau.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here