Home Hiburan MASA UNTUK DIRI SENDIRI – HANNAH DELISHA

MASA UNTUK DIRI SENDIRI – HANNAH DELISHA

KUALA LUMPUR: Dalam kepadatan jadual seni dan kerancakan memenuhi tuntutan kerjaya lakonan, ada ruang kosong dalam diri aktres jelita, Hannah Delisha yang dianggap masih sukar dipenuhi.

Memetik laporan Berita Harian, di sebalik senyuman manis yang sering menghiasi wajah, Hannah mengakui ada ketika momen sunyi dan rasa kosong menyelimuti diri apabila masa bersama suami tercinta, Imam Shah, menjadi begitu terhad.

Ada ketika, pagi dan malam yang silih berganti hanya berlalu begitu sahaja tanpa masing-masing sempat bersua muka kerana sibuk dengan komitmen dan karier tersendiri.

Meskipun begitu, aktres kacukan Melayu-Inggeris ini memilih sudut pandang postif dan melihat setiap yang berlaku secara holistik agar dapat mendidik jiwanya menerima apa sahaja ketentuan takdir terhadap rumah tangganya.

Atas apa yang berlaku, Hannah atau nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch nekad mengehadkan jadual kerja sepanjang Ramadan tahun ini dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta demi mengisi kekosongan dalam diri.

Aktres berusia 30 tahun ini berkata, perancangan untuk berehat sebenarnya sudah dibuat sejak tahun lalu, Hannah mahu memanfaatkan masa sepanjang Ramadan untuk diri sendiri dan keluarga.

“Setiap tawaran yang datang, saya minta pengurus jelaskan bahawa saya mahu berehat sepanjang Ramadan. Bukan setiap tahun kita dapat peluang untuk benar-benar merasai bulan ini dengan tenang. Insya-Allah, selepas Aidilfitri saya akan kembali berlakon.

“Sebenarnya, tahun ini saya letak sasaran untuk tidak terbabit dengan sebarang penggambaran drama sepanjang Ramadan. Keputusan itu dibuat kerana saya fikir sudah dua tahun atau tiga tahun berturut-turut menjalani penggambaran sepanjang Ramadan dan sangat memenatkan.

“Penat itu bukan sekadar fizikal, tetapi sampai rasa seperti tiada kehidupan sendiri. Puasa memang dilakukan, tetapi untuk memberi fokus sepenuhnya kepada ibadat, ia menjadi suatu perjuangan,” katanya kepada BH Online.

Hannah memilih untuk lebih berhati-hati dan selektif, terutama apabila membabitkan komitmen jangka panjang seperti penggambaran drama, lebih-lebih lagi pada Ramadan.

“Memang ada tawaran yang menarik, namun, itu adalah pendirian saya. Sejak awal lagi, saya sudah tetapkan dalam minda bahawa Ramadan tahun ini adalah untuk berehat.

“Saya juga percaya, terlalu banyak projek setiap tahun ada baik dan kurangnya. Sudah tentu rezeki, tetapi kontranya, apabila terlalu kerap muncul, mungkin akan sampai satu tahap penonton mahu melihat kelainan atau pelakon lain. Jadi, berehat seketika itu lebih baik,” katanya.

Mengakui cabaran menguruskan masa antara kerjaya dan rumah tangga bukan sesuatu yang mudah, Hannah berkata, situasi itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya sebagai anak seni.

“Apabila saya ada penggambaran, memang sukar untuk berjumpa suami. Hannah keluar pagi, balik malam. Bila balik, suami sudah tidur.

“Apabila bangun pagi, suami pula sudah keluar bekerja. Pada awalnya memang terasa kekosongan itu, tetapi, lama-kelamaan, kami belajar memahami jadual masing-masing. Paling penting adalah penerimaan dan saling memahami,” katanya.

Menurut Hannah, perasaan penat dan letih bukan hanya dialami dirinya, malah turut dirasai ramai figura awam yang bergelut dengan tuntutan kerja tanpa henti.

Bagi Hannah, waktu untuk dirinya berehat panjang apabila dikurniakan rezeki hamil, namun, sekiranya masih belum tiba waktu, dia akan terus bekerja seperti biasa.

“Saya fikir ramai dalam kalangan figura awam pernah melalui fasa keletihan melampau (burnout). Bezanya, bagi wanita, ruang untuk berehat selalunya datang ketika mengandung.

“Tetapi, selagi Allah belum memberi rezeki itu, saya akan terus bekerja. Pengalaman kehamilan pertama dahulu juga sangat padat dengan jadual kerja dan mungkin itu antara sebab kandungan tidak kuat.

“Jadi, jika mengandung lagi nanti, secara automatik saya memang akan berehat sepenuhnya,” katanya.

Mengulas perjalanan hidupnya yang diuji dengan tragedi keguguran dua tahun lalu, Hannah menyifatkan ia episod perit yang meninggalkan kesan mendalam.

Namun, pelakon asal Singapura ini menegaskan, dia memilih untuk tidak terperangkap dalam rasa kecewa, sebaliknya, memandang ujian itu sebagai sebahagian daripada aturan hidup yang ditetapkan Allah SWT dengan penuh hikmah.

“Bagi saya, tiada kerja yang tidak penat. Setiap orang ada ujian masing-masing. Ada diuji dengan kesihatan, kewangan dan bagi saya, ujiannya adalah zuriat.

“Namun, saya tidak meletakkan tekanan berlebihan. Saya serahkan semuanya kepada Allah. Apabila sampai masanya, saya percaya ia akan berlaku dengan izin-Nya,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah mengakui, dia masih belum sampai ke tahap mendapatkan rawatan kehamilan, sebaliknya, mengambil pendekatan serius dalam aspek menjaga kesihatan diri.

“Setakat ini, saya belum sampai ke tahap mendapatkan rawatan. Saya tidak salahkan sesiapa kerana kami belum berusaha secara ‘all out’.

“Buat masa ini, saya hanya mengambil suplemen sebagai langkah menjaga kesihatan dalaman,” katanya.

Menyentuh mengenai karier nyanyian, Hannah berkata ia masih diteruskan dan mencari masa sesuai melancarkan karya baharu.

“Dalam bidang muzik pula, saya sebenarnya sudah merakam lagu baharu, tetapi, video muzik masih belum dibuat.

“Masih dalam perbincangan sama ada mahu lancarkan lagu tanpa video muzik. Lagunya berunsur sedih dan bersifat ‘healing’,” katanya.

Mengenai persembahan pentas, Hannah mengakui rasa gementar itu tidak pernah hilang, namun, dia menerima hakikat itu sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang penghibur.

“Mengenai persembahan pentas, rasa gugup itu memang sentiasa ada. Saya sering bertanya kepada penyanyi veteran dan mereka juga mengakui perasaan itu tidak pernah hilang.

“Setiap kali naik ke pentas, rasa gementar tetap ada dan Hannah percaya perkara itu,” katanya.

Pada Mac 2024, Hannah berkongsi dirinya mengalami keguguran bagi kehamilan pertama.

Hannah mendirikan rumah tangga dengan Imam yang juga pelakon Singapura, pada 18 Februari 2021. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here