Home Buletin Semasa WALKATHON D’RAJA KEMBALI SELEPAS SATU DEKAD, LEBIH 10,000 RAKYAT BERSAMA SULTAN

WALKATHON D’RAJA KEMBALI SELEPAS SATU DEKAD, LEBIH 10,000 RAKYAT BERSAMA SULTAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Lebih 10,000 peserta membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi bagi menghidupkan semula Program Walkathon D’Raja, Walk With Me selepas kali terakhir diadakan pada 2016.

Program berprestij itu diserikan dengan keberangkatan tiba Sultan Muhammad V dan isteri tercinta, Sultanah Nur Diana pada jam 11.18 malam.

Kedua-dua baginda berkenan mencemar duli berangkat menyertai acara berjalan kaki sejauh 3.2 kilometer (km) bersama rakyat bermula dari stadium, menuju ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, seterusnya ke Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan, sebelum kembali semula ke stadium sebagai penamat acara.

Suasana malam turut diserikan dengan persembahan 350 dron yang membentuk 10 formasi di ruang udara menampilkan elemen tradisi dan budaya Kelantan seperti gasing, rebana ubi, wau bulan, beca dan wayang kulit.

Persembahan berkenaan menjadi antara tarikan utama program selain sebahagian daripada inisiatif mempromosikan negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd Ilham Zulhakim Arif Shukimin, 30, dari Kuala Krai berkata dia tiba di stadium seawal jam 6.30 petang bagi merasai kemeriahan acara tersebut.

“Program seperti ini sangat baik kerana bukan sahaja menggalakkan rakyat menjaga kesihatan, malah memberi peluang kepada kami berjalan bersama Sultan.

“Ia satu pengalaman yang cukup bermakna dan secara tidak langsung dapat mendekatkan institusi D’Raja dengan rakyat,” katanya.

Bagi Muhamad Nasruddin Zahari, 31, dia amat teruja menyertai aktiviti berkenaan kerana ingin merasai sendiri kemeriahan program yang menghimpunkan ribuan peserta.

“Apabila saya tahu tentang Program Walkathon D’Raja, Walk With Me ini, saya sudah jangka memang ramai yang akan hadir, sebab itu saya datang kerana saya suka suasana yang meriah dan penuh dengan orang ramai.

“Saya juga gembira kerana Sultan Kelantan turun padang untuk bersama rakyat, saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here