Bagi memastikan lebih 25,000 Pembantu Perubatan (PPP) di Malaysia terus berkembang dan memenuhi keperluan sistem kesihatan negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kapasiti latihan dan pengambilan tenaga baharu.
Menurut kenyataan KKM di laman Facebook rasmi, sistem kesihatan negara kini berada dalam fasa pendigitalan yang pesat dengan teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kualiti rawatan pesakit.
“Seiring perubahan ini, PPP bukan sahaja pelaksana rawatan tetapi juga pemacu inovasi kesihatan melalui penggunaan teknologi digital.
“Pada 2024, seramai 807 pelatih baharu telah diambil ke Institut Latihan KKM (ILKKM), sementara 462 pelatih telah direkrut bagi Sesi Pertama 2025.
“Selain itu, 283 pelajar turut mengikuti program Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan (atau ‘Diploma in Medical and Health Sciences’) di institusi swasta, sebagai sebahagian daripada usaha negara melahirkan lebih ramai PPP yang berkualiti tinggi.
“Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan profesionalisme dan kepakaran PPP, KKM sedang memperkukuhkan pendaftaran “Assistant Medical Officer Technical Expert” (AMOTeX) sebagai platform kawal selia bagi memastikan PPP berkemahiran tinggi terus berada dalam perkhidmatan kepakaran di KKM,”menurut kenyataan itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Auditorium Perdana, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, semalam.
Sambutan tahun itu bertemakan “Revolusi Digital: Evolusi Pembantu Perubatan Pintar”, menekankan peranan kritikal Pembantu Perubatan (PPP) dalam mendepani transformasi digital sistem kesihatan negara.
“Dengan peranan PPP yang semakin berkembang, KKM yakin bahawa Malaysia mampu menjadi model sistem kesihatan digital yang lebih cekap, inovatif, dan berdaya saing di peringkat global,”,menurut kenyataan.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Indera Dr. Nor Azimi Yunus; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli; Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia Zulhelmi Abdullah dan pegawai- pegawai kanan KKM.