Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Puasa adalah satu ibadah bagi seluruh umat Islam di dunia ini. Namun, ada dalam kalangan kita memilih untuk tidur di siang hari ketika bulan Ramadan.
Kononnya untuk mengurangkan rasa keletihan dan rasa lapar pada waktu siang.
Namun ketahuilah seseorang muslim bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi ia lebih kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Amat rugi dan sia-sia jika seseorang yang berpuasa hanya mementingkan jadual tidur daripada meningkatkan amal ibadah di bulan puasa.
Bulan Ramadan adalah digalakkan untuk memperbanyak mengaji al Quran dan lain-lain. Malah di bulan Ramadan juga diberi ganjaran berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.
Persoalannya, adakah tidur di siang hari boleh membatalkan puasa?
Menurut laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, hal ini tidak membatalkan puasa oleh kerana tidur sepanjang hari bukanlah termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa.
Imam al-Nawawi menyebut:
وَلَوْ نَامَ جَمِيعَ النَّهَارِ، صَحَّ صَوْمُهُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan jika tidur seseorang itu sepanjang siang hari, maka sah puasanya menurut pendapat yang sahih lagi diketahui
(Lihat Raudah al-Talibin, 2/366)
Begitu juga yang disebut oleh Imam Syihab al-Din al-Ramli bahawa, tidak menjadi kemudharatan (kepada puasanya) sekiranya ia tidur yang nyenyak sehingga habisnya waktu siang mengikut pandangan yang sahih. Ini kerana ia tetap sebagai golongan yang diperintahkan oleh syara’ (untuk berpuasa). Lalu apabila dikejutkannya dan ia terjaga dari tidurnya maka ia diwajibkan untuk mengqada’ sembahyang yang tertinggal ketika tidur, bukan tertinggal disebabkan ia pengsan. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, 3/176)
Namun perbuatan tidur sepanjang hari pada bulan Ramadhan adalah perbuatan yang boleh mengurangkan fadhilatnya serta berlawanan dengan adab dan hilangnya nikmat merasa kepayahan serta kesusahan berpuasa. Ini jelas bahawa kesusahan dalam menghadapi bulan ramadhan merupakan salah satu hikmah berpuasa bahawa Allah SWT ingin mentarbiah hambanya supaya sentiasa mengawal diri dan nafsu daripada memenuhi keinginannya serta sentiasa mengingati Allah SWT.
Hal ini seperti yang disebut oleh Imam al-Ghazali:
بل من الآداب أن لا يكثر النوم بالنهار حتى يحس بالجوع والعطش ويستشعر ضعف القوي فيصفو عند ذلك قلبه
Maksudnya: Bahkan daripada adab (berpuasa) adalah tidak memperbanyakkann tidur pada siang hari, sehingga seseorang itu merasakan kelaparan, haus dan merasakan lemah keupayaannya. Maka dengan itu akan dibersihkan hatinya
(Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/235)
Oleh itu, para ulama menyebut bahawa tidur sepanjang siang hari pada bulan Ramadhan adalah termasuk daripada perkara yang dimakruhkan. Imam al-Hattab al-Maliki menyebut di dalam kitabnya, di antara perkara makruh ketika berpuasa adalah banyak tidur pada siang hari di bulan ramdhan. (Lihat, Mawahib al-Jalil, 2/415)
Oleh itu, walaupun tidur sepanjang hari tidak membatalkan puasa, adalah lebih baik untuk mengisi waktu siang dengan amalan ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, atau melakukan aktiviti bermanfaat lain. Ini selaras dengan semangat Ramadhan sebagai bulan untuk melipatgandakan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Tidur berlebihan di siang hari juga boleh menjejaskan kesihatan dan aktiviti harian, bukan sahaja tubuh badan merasa lemah tidak bermaya, bahkan tidur di siang hari boleh menyebabkan tekak menjadi kering.
Jadi, basahkan lidah dengan zikir dan perkara yang boleh memberi manfaat kepada kita.
IMedikel TV






