Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Tabiat membakar sampah sarap seperti plastik, kertas, getah atau bahan organik kini sudah lazim dalam kalangan masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar atau pinggir bandar.
Walaupun nampak seperti cara mudah dalam menguruskan sisa tersebut, hakikatnya asap daripada kesan bahan bakar itu boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan lebih-lebih lagi apabila dilakukan di kawasan ramai orang.
Asap kebakaran sangat berbahaya jika dihidu secara berterusan kerana mengandungi bahan kimia dan partikel halus yang dilepaskan ketika bahan itu dibakar.
Namun, segelintir masyarakat memandang enteng akan kesan daripada tabiat itu kerana ingin melupuskan sampah sarap yang ada tetapi tanpa disedari ia sekaligus menyebabkan masalah kesihatan dan pencemaran udara.
Antara faktor asap kebakaran tersebut terhadap kesihatan ialah:
Kesan jangka pendek:
1.Iritasi saluran pernafasan: asap boleh menyebabkan batuk, sakit tekak, dan kesukaran bernafas.
2.Iritasi mata dan kulit: gas berbahaya dalam asap boleh menyebabkan mata pedih dan kulit gatal.
3.Sakit kepala dan pening: Karbon monoksida yang terhasil dari pembakaran tidak sempurna boleh mengurangkan oksigen dalam badan, menyebabkan rasa lemah, pening, atau mual.
2. Kesan jangka panjang:
1.Masalah kardiovaskular: partikel halus boleh memasuki saluran darah, meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
2.Kanser: pembakaran plastik atau bahan mengandungi bahan kimia berbahaya seperti dioksin boleh meningkatkan risiko kanser.
3.Masalah kesihatan pada kanak-kanak dan warga emas: golongan ini lebih terdedah kepada risiko kesan asap kerana sistem imun mereka lebih lemah.
4. Pencemaran alam sekitar: asap kebakaran menyumbang kepada pencemaran udara, yang memberi kesan buruk bukan sahaja kepada manusia tetapi juga kepada tumbuhan, haiwan, dan ekosistem.
Langkah pencegahan:
1.Elakkan membakar sampah sarap, terutama bahan yang mengandungi plastik atau bahan kimia.
2.Gunakan kaedah pelupusan sisa yang selamat seperti kitar semula.
3.Sekiranya terdedah kepada asap, elakkan aktiviti luar.
Membakar sampah bukan sahaja membahayakan kesihatan individu tetapi juga komuniti sekeliling.
Sebaiknya, setiap individu perlu memilih alternatif yang lebih selamat untuk menguruskan sisa.
IMedikel TV






