KOTA BHARU: Kes seksual membabitkan remaja yang berlaku secara suka sama suka di Kelantan menunjukkan trend penurunan hasil kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pendekatan yang dilaksanakan bukan sahaja memberi tumpuan kepada tindakan undang-undang, malah membabitkan usaha menangani punca gejala sosial melalui kerjasama pelbagai pihak.
“Sebelum ini kebanyakan kes membabitkan remaja bawah umur diklasifikasikan sebagai kes rogol mengikut peruntukan undang-undang, walaupun terdapat kes yang berlaku secara suka sama suka.
“Alhamdulillah, setakat ini kita melihat terdapat penurunan kes selepas adanya kerjasama yang baik dengan MAIK dan pihak berkuasa agama dalam menangani isu sosial ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.
Mohd Yusoff berkata, penglibatan pihak berkuasa agama dilihat membantu menangani isu tersebut secara lebih menyeluruh, termasuk melalui siasatan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkaitan.
Katanya, kerjasama itu adalah antara usaha memperkasakan peranan setiap pihak berkepentingan dalam menangani gejala sosial, khususnya membabitkan remaja.
Beliau berkata, pendekatan sama akan terus diperkukuh bersama agensi berkaitan bagi memastikan usaha menangani gejala sosial tidak hanya tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan, sebaliknya membabitkan pencegahan dan intervensi awal.
IMedikel TV






