Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Bekas pemain hoki kebangsaan, Ismail Abu akan terus beraksi dipentas Liga Hoki Malaysia (MHL)-TNB 2026 selagi khidmatnya diperlu.
Pada usia menjangkau 42 tahun, kelibat penyerang lincah itu dapat dilihat bersama membantu pasukan Young Elephants Pahang dibawah kendalian jurulatih, Mohd Sufian Mohamad yang juga rakannya bersama pasukan Tok Gajah suatu ketika dahulu.
“Sebelum ini saya meletakkan detik pada usia 40 tahun untuk bersara dalam kancah sukan hoki, namun saya tidak mampu menunaikannya disebabkan faktor terlalu mencintai sukan berkenaan yang begitu sebati dengan diri ini.
“Musim ini saya sepatutnya tidak bermain disebabkan kecederaan lama pada kedua belah lutut yang kembali berulang, namun kerana minat yang mendalam saya tetap harungi cabaran dalam keadaan kesakitan,” katanya, di sini, kelmarin.
Beliau yang kini bertugas dengan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) berkata, untuk meneruskan kerjaya dia kini bersama pasukan Young Elephants Pahang memburu kejayaan dipentas Liga Hoki Malaysia MHL-TNB.
Ismail berkata, beliau mewakili pasukan Pahang hampir semua peringkat kejohanan kebangsaan sejak berumur 11 tahun hingga kini, bagaimanapun di pentas MHL sebelum ini dia pernah bermain dengan Terengganu, Singh Sabah Hockey Club (SSHC), Maybank dan Kedah/Nurinsafi HT.

Manakala pada 2018 beliau beraksi di Hong Kong.
Katanya, di pentas antarabangsa dia bersama pasukan negara selama 14 tahun dengan 312 cap antaranya beraksi pada kejohanan hoki Piala Dunia 2014, Sukan Komanwel 2006 (pingat gangsa), Sukan Asia Busan 2002 (pingat gangsa), Piala Asia (dua gangsa), Piala Sultan Azlan Shah (pingat perak) dan Champion Challenge (dua pingat perak).
Mengenai penampilan bersama Young Elephants Pahang musim ini, Ismail berkata, dia tidak pernah merasa rendah diri bermain dengan barisan pemain muda yang akan mewakili Tok Gajah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, Ogos depan. Mereka memiliki kemahiran dan semangat juang yang tinggi walaupun cetek pengalaman.
“Impian pasukan Young Elephants Pahang musim ini melangkah ke pentas suku akhir MHL sangat cerah, walaupun berhadapan cabaran getir namun tidak mustahil kami mampu mencapai impian dengan syarat semua pemain memberi komitmen dan persembahan yang terbaik pada setiap perlawanan.
“Sebagai ketua pasukan dan pemain senior saya akan berusaha melakukan yang terbaik walaupun berhadapan kecederaan, pengalaman yang ada digunakan sepenuhnya untuk mencapai kejayaan diharapkan.
“Setiap perlawanan saya bukan sahaja memikul tugas sebagai ketua pasukan, yang lebih utama memburu gol, ” kata bapa tiga cahayamata itu.
IMedikel TV






