KUALA LUMPUR: Peluang menggayakan selebriti menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) menjadi antara titik permulaan penting yang membantu duo pereka fesyen, Rizman Ruzaini, membina nama dalam industri fesyen tanah air ketika masih bergelar penuntut universiti.
Memetik laporan Berita Harian, bermula dengan menghasilkan busana untuk beberapa selebriti popular termasuk Datuk Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah, platform ABPBH membuka ruang buat mereka memperkenalkan kreativiti serta membina reputasi sebagai pereka fesyen muda yang mula mendapat perhatian.
Malah, Rizman mengakui ABPBH menjadi antara medan pemasaran terbaik ketika itu, memandangkan peluang untuk pereka baharu mengetengahkan hasil karya kepada masyarakat masih terhad.
Menurut Rizman atau nama sebenarnya, Rizman Nordin, 42, peluang berkenaan dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai strategi pemasaran awal bagi memperkenalkan jenama Rizman Ruzaini kepada khalayak.
“ABPBH menjadi antara platform yang membolehkan pereka muda seperti kami memperkenalkan karya.
“Walaupun masih bergelar pelajar, kami mengambil peluang itu untuk mengetengahkan hasil rekaan dan secara tidak langsung orang mula mengenali kami. Boleh dikatakan ia seperti pemasaran percuma buat kami ketika itu.
“Perjalanan ini sangat panjang dan penuh cabaran, tetapi kami mempunyai misi besar untuk menjadikan Rizman Ruzaini sebagai jenama yang boleh menjadi ikon industri fesyen Malaysia.
“Apa sahaja cabaran yang datang, kami akan harunginya. Paling penting, kami tahu hala tuju dan sebab mengapa kami memulakan perjalanan ini,” katanya kepada BH Online.
Rizman berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bengkel fesyen Rizman Ruzaini pada majlis pelancaran АВРВН Ke-38 di Ombak, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang dikendalikan pengacara, Sasha Bashir dan Ain Edruce selaku panel jemputan, baru-baru ini.
Sementara itu, Ruzaini atau nama penuhnya, Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil, 42, menyifatkan ABPBH sebagai platform yang terus relevan dalam memperkenalkan pereka fesyen kepada masyarakat, selain menjadi wadah meraikan kreativiti penggiat industri.
Katanya, inspirasi daripada acara anugerah antarabangsa seperti Oscar yang menyaksikan selebriti ternama menggayakan busana pereka terkenal wajar diterapkan dalam industri hiburan tempatan.
“Kami selalu melihat acara anugerah antarabangsa seperti Oscar dan teruja melihat selebriti seperti Nicole Kidman serta Charlize Theron menggayakan busana pereka terkenal.
“Jadi, mengapa tidak semangat dan inspirasi itu dibawa ke dalam industri hiburan serta fesyen tempatan supaya kita juga mempunyai platform yang meraikan kreativiti pereka fesyen.
“Kami sangat bangga dan bersyukur kerana selepas 20 tahun, kami masih bersama ABPBH. Platform ini antara tempat kami bermula dan sudah tentu kami mahu terus memberikan sokongan.
“Apabila kita semakin berjaya dan berada di tempat lebih tinggi, jangan lupa tempat kita bermula. Teruskan usaha, kenal pasti matlamat dan paling penting, bawa nama Malaysia serta industri fesyen tempatan ke peringkat lebih luas, termasuk antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, bengkel berkenaan turut memberi pengalaman berharga kepada 30 pelajar jurusan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada Rizman Ruzaini.
Bagi Nur Amirah Ismahani Khairul Nizam, 23, perkongsian itu membuka perspektif baharu mengenai proses menghasilkan rekaan yang bersifat malar segar (evergreen), selain pemilihan warna dan trend fesyen yang bersesuaian dengan tema.

“Banyak ilmu yang saya dapat, terutama mengenai cara menghasilkan rekaan yang sentiasa relevan, pemilihan warna dan trend fesyen mengikut tema.
“Saya juga belajar cara menguruskan hubungan dengan artis serta berkomunikasi dengan pelanggan,” katanya.
Bagi Alea Hanis Ummar, 23, bengkel berkenaan turut membantu meningkatkan keyakinan diri, terutama apabila perlu menyampaikan idea dan bekerjasama dengan peserta lain dalam tempoh ditetapkan.
“Sebagai individu introvert, pada mulanya saya tidak menyangka mampu melakukan semua itu, tetapi suasana bengkel yang sangat menyokong membuatkan saya lebih yakin.
“Saya dapat melihat sisi lain diri sendiri apabila berpeluang berkongsi idea, bekerjasama dengan rakan dan berinteraksi dengan pereka serta artis,” katanya.
Mohamad Zulhafiz Zariq Azhar, 25, menyifatkan perkongsian mengenai fabrik, teknik penjagaan material dan proses menghasilkan rekaan memberi pengetahuan tambahan yang boleh dimanfaatkan dalam penghasilan koleksi fesyen sendiri.
“Saya mendapat banyak maklumat mengenai fabrik, termasuk cara penjagaannya serta perkara lain berkaitan proses menghasilkan busana.
“Kisah perjalanan Rizman Ruzaini juga memberi inspirasi kepada saya kerana teringin untuk mencapai kejayaan seperti mereka dan menghasilkan rekaan sendiri yang mempunyai identiti tersendiri,” katanya.
Seorang lagi peserta, Muhammad Azib Azran Azmi, 25, berkata, antara perkara menarik yang dipelajari ialah kepentingan memahami personaliti pelanggan sebelum menghasilkan sesuatu rekaan.
“Daripada perkongsian Rizman Ruzaini, saya belajar bahawa seseorang pereka perlu mengenali personaliti pelanggan terlebih dahulu kerana ia menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan rekaan.
“Selain itu, pemilihan warna juga penting kerana kita perlu memastikan keseluruhan rekaan bersesuaian dengan karakter individu yang akan menggayakannya,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






