Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kebanyakan kes gejala sosial membabitkan kanak-kanak dan remaja di Kelantan dikenal pasti membabitkan keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, berdasarkan statistik yang diperoleh, golongan berkenaan adalah antara yang paling terkesan dengan pelbagai masalah sosial, sekali gus memerlukan pendekatan intervensi awal secara menyeluruh.
Beliau berkata, usaha itu tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemulihan kanak-kanak, sebaliknya perlu mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan mereka terjebak dalam gejala sosial.
“Kita mahu selesaikan punca masalah, bukan sekadar merawat kesannya. Kita perlu tahu kenapa pelajar terbabit dengan dadah, merempit, ponteng sekolah atau masalah seksual.
“Puncanya mungkin disebabkan kemiskinan, perceraian, ibu bapa dipenjarakan, penyalahgunaan dadah, tekanan hidup atau kanak-kanak dibesarkan oleh datuk dan nenek,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.
Menurut beliau, pihak sekolah akan memainkan peranan mengenal pasti pelajar yang berdepan masalah seperti ponteng, pengabaian, gangguan seksual dan isu kesihatan mental sebelum kes dirujuk kepada Jawatankuasa Perlindungan Kanak-Kanak.
“Apabila sekolah mengesan ada murid yang diabaikan, menjadi mangsa gangguan seksual atau mengalami masalah emosi, kita bukan hanya melihat kepada kanak-kanak itu, tetapi juga keadaan ibu bapa serta penjaga mereka,”katanya.
Bagaimanapun beliau mencadangkan jawatankuasa di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu diperkasakan supaya intervensi dapat dilaksanakan lebih awal melalui kerjasama sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta agensi berkaitan.
Mohd Yusoff berkata, pendekatan itu juga bertujuan mengelakkan ibu bapa atau penjaga terus dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 tanpa usaha membantu mereka terlebih dahulu.
Beliau berkata, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Kalau terus kita dakwa ibu bapa dan penjaga, siapa pula yang akan menjaga anak-anak mereka? Sebab itu kita mahu kenal pasti masalah keluarga terlebih dahulu dan memberi bantuan yang bersesuaian sebelum mengambil tindakan undang-undang.
“Kita mahu selesaikan masalah ini dari akar umbi. Kita nak cari kunci sebenar masalah pelajar yang bermasalah,”katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, penghulu dan ketua kampung memainkan peranan lebih aktif mengesan awal masalah sosial dalam komuniti bagi memastikan intervensi dapat dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
IMedikel TV






