WASHINGTON: Kajian meramalkan ribuan lagi kematian kanak-kanak akibat senjata api akan berlaku berbanding jumlah dijangkakan sebelum ini, majoritinya membabitkan kes pembunuhan dan bunuh diri.
Unjuran itu dicapai selepas mengambil kira tindakan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) melonggarkan undang-undang senjata api susulan keputusan mahkamah.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pakar perubatan kecemasan di Hospital Brigham and Women di Boston, Jeremy Faust, yang juga penulis utama kajian diterbitkan dalam JAMA Pediatrics, berkata pihaknya tertarik dengan topik itu.
Sebagai bapa, katanya, beliau tertanya-tanya sama ada dunia hari ini lebih selamat untuk kanak-kanak berbanding ketika zaman beliau membesar.
Beliau berkata, kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan penurunan mendadak, tetapi yang berpunca daripada senjata api meningkat.
“Ia menggantikan kemalangan jalan raya sebagai punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak berumur lebih setahun.
“Perkara utama yang sering ingin diketahui orang ramai ialah, apakah niat di sebalik kematian terbabit?
“Paling mengejutkan ialah kemalangan hanyalah sebahagian kecil daripada kematian, kebanyakannya membabitkan kes bunuh dan bunuh diri,” katanya sambil menyifatkan trend itu unik berbanding negara lain yang setara.
Bagi menyelidik perubahan itu, Faust dan rakannya, menganalisis data pada peringkat negeri sebelum dan selepas keputusan Mahkamah Agung dalam kes McDonald melawan Chicago pada 2010 yang memperluas pemakaian Pindaan Kedua kepada kerajaan negeri dan tempatan.
Keputusan itu mencetuskan gelombang penggubalan undang-undang dengan sebahagiannya mengetatkan peraturan senjata api, namun di kebanyakan tempat, ia dilonggarkan.
Pasukan penyelidik membahagikan negeri kepada tiga kategori, iaitu paling longgar, longgar, dan ketat serta menggunakan data kematian akibat senjata api dalam kalangan kanak-kanak berusia sifar hingga 17 tahun daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Mereka menjalankan ‘analisis kematian berlebihan’, membandingkan jumlah kematian sebenar dari 2011 hingga 2023 dengan unjuran berdasarkan trend terdahulu dari 1999 hingga 2010 serta pertumbuhan penduduk.
Keputusannya amat ketara, iaitu lebih 7,400 kematian kanak-kanak akibat senjata api berlebihan direkodkan di negeri melonggarkan undang-undang senjata, termasuk lebih 6,000 kematian di kumpulan negeri paling longgar.
Sebaliknya, lapan negeri paling ketat secara keseluruhan tidak mencatatkan sebarang kematian berlebihan.
Model itu meramalkan 4,267 kematian, manakala 4,212 kematian direkodkan, iaitu angka hampir sepadan, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap analisis berkenaan. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






