Home Buletin Semasa 150 PENERIMA DAPAT MANFAAT DAGING KORBAN

150 PENERIMA DAPAT MANFAAT DAGING KORBAN

495
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 150 penduduk sekitar Kampung Pulau Gajah, di sini menerima manfaat daging korban hasil sumbangan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menerusi pelaksanaan Program Kasih Ihsan MADANI (i-Care4U) Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha, hari ini.

Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Jasri Kasim berkata program itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang belum mampu menunaikan ibadah korban.

“Kita menyembelih tiga ekor lembu dan melibatkan kenduri rakyat untuk aktiviti gotong-royong memasak dan jamuan makan bersama penduduk setempat sebagai usaha mengeratkan hubungan bersama komuniti.

“Usaha ini merangkumi pelbagai sektor seperti pendidikan, kebajikan dan pembangunan keupayaan rakyat
bagi memastikan tiada kumpulan yang terpinggir daripada arus pembangunan negara.

“Kita turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kelantan, Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK) serta pihak pengurusan Masjid Ar-Rahman, sebagai bukti sokongan padu pelbagai pihak terhadap usaha murni ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Kasih Ihsan MADANI (i-Care4U) Ziarah Kasih Ihsan Aidiladha, di Masjid Ar Rahman, Mukim Pulau Gajah, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Prudential BSN Takaful (PruBSN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Farm Fresh Bhd.

Terdahulu, beliau menyantuni 15 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin dan miskin tegar yang berdaftar menerusi sistem eKasih.

Sementara itu, menurut seorang penerima daging korban Fauziyah Isa, 56, dia sangat bersyukur kerana mempunyai kesempatan untuk merasai daging korban tahun ini memandangkan dia belum mampu menunaikan ibadah korban.

“Alhamdulillah saya bersyukur sebab boleh marasai juga daging korban.

“Ramai juga yang memberinya walaupun saya tidak pernah mampu untuk ambil bahagian korban,” katanya.

Fauziyah yang mempunyai lima anak tersenyum tatkala menerima bungkusan daging korban.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here