SEREMBAN: Bekas ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P Maniam berkata dia belum menerima sebarang tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-26, yang dijadualkan akan membuka tirainya Ogos depan.
Memetik laporan Berita Harian, pengendali berasal dari Selangor berusia 56 tahun itu memaklumkan, beliau masih menunggu sebarang tawaran rasmi untuk melatih mana-mana pasukan.
Menurutnya, walaupun terdapat dua kelab yang menghubunginya baru-baru ini, ia sekadar perbincangan lisan dan tiada keputusan muktamad melantiknya sebagai jurulatih.
“Setakat ini belum ada menerima apa-apa tawaran rasmi daripada mana-mana pasukan. Perbincangan lisan itu ada dari dua kelab, tapi tiada kata putus melantik (jurulatih) atau sebagainya.
“Saya masih menunggu mana-mana tawaran daripada kelab sama ada dari pasukan Liga Super ataupun Liga A1,” kata Maniam ketika dihubungi hari ini.
Pengendali berpengalaman itu berkata, minatnya untuk melatih mana-mana pasukan atau terbabit secara langsung dalam kempen Liga M kekal tinggi kerana ia membabitkan kariernya sebagai jurulatih dan sudah lama berkecimpung dalam sukan ini.
“Tugas jurulatih sudah sebati dalam jiwa dan sudah tentu saya mahu terus memberikan khidmat dengan pasukan yang beraksi dalam liga kita,” kata Maniam.
Pada penghujung kempen Liga M musim 2024-25, Maniam direhatkan menjelang saingan akhir kedua Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menentang Selangor FC, Februari lalu.
Tugas pengendali PDRM FC kemudiannya diambil alih oleh penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil hingga akhir musim 2024-25.
Bagaimanapun reputasi Maniam di pentas Liga M tidak boleh dinafikan kerana beliau yang pernah membimbing beberapa pasukan termasuk Selangor FC, Petaling Jaya (PJ) City FC dan Harini, melakar beberapa kejayaan di pentas bola sepak berprestij tempatan itu. – BH Online –
IMedikel TV






