Home Buletin Semasa KERAJAAN TAWAR SUBSIDI 30 PERATUS, JUALAN RAHMAH ‘BACK TO SCHOOL’

KERAJAAN TAWAR SUBSIDI 30 PERATUS, JUALAN RAHMAH ‘BACK TO SCHOOL’

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kerajaan menawarkan sebanyak 30 peratus subsidi untuk program Jualan Rahmah ‘Back To School’ dengan pembelian kelengkapan persekolahan bermula 1 hingga 15 Februari depan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, jualan berlangsung kira-kira dua minggu itu melibatkan 25 pasaraya terpilih dan diadakan secara bergilir-gilir.

“Bebanan ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan dapat dikurangkan apabila adanya subsidi terhadap jualan barangan itu.

“Antara barang yang dijual adalah kelengkapan pakaian sekolah, kasut, beg, alat tulis dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui baru -baru ini.

Azman berkata, selain daripada subsidi 30 peratus yang ditawarkan, pihaknya juga berharap pasaraya terpilih turut menawarkan potongan harga terhadap barangan itu yang menjadikan harga barang berkenaan lebih murah.

“Kami meminta agar pihak pasaraya menyumbang sedikit sebanyak supaya rakyat boleh dapat lebih daripada 30 peratus, contohnya barangan yang berharga RM100 tetapi mereka boleh dapat dengan harga RM70 sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan berkenaan harga barangan persekolahan yang melonjak naik memandangkan cuti persekolahan baru sahaja bermula.

“Sekiranya kita menerima aduan itu, kita akan terus membuat siasatan terhadap premis berkenaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here