Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum akan lapan pelajar Malaysia daripada Universiti Al-Azhar yang terlibat dalam insiden kemalangan kenderaan ketika dalam perjalanan dari Kaherah ke Port Said pada 25 Januari lalu.
Menurut satu kenyataan semalam, KPT sentiasa mengikuti secara rapat perkembangan situasi tersebutmelalui Kementerian Luar Negeri (KLN).
“KPT melalui Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM) memantau perkembangan semasa pelajar yang terlibat. Lima pelajar dilaporkan mengalami luka ringan dan dirawat di wad pesakit luar, Hospital Sayed Galal, Kaherah manakala tiga pelajar lagi ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut.
“Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT ingin menyatakan sistem pembangunan data yang telah disediakan melalui inisiatif pembangunan sistem MyData@EducationMalaysia4U.
“Pelajar amat digalakkan untuk mengemas kini butiran diri dan pengajian pelajar ke dalam portal rasmi Jabatan ini bagi tujuan capaian maklumat data yang tepat dan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan,”menurut kenyataan itu.
Sebarang maklumat boleh terus berhubung dengan Education Malaysia Mesir di alamat Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), 26, Sabil Alkhazender St, From Abdou Basha Square, Abbasiah, Cairo, Arab Republic of Egypt dan boleh hubungi melalui talian +00 202 2487 3858 atau melalui email em.mesir@mohe.gov.my.
IMedikel TV






