Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berusaha untuk memberi keselesaan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk gelombang kedua nanti.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Mas Rohani Ibrahim, bagi gelombang pertama, mangsa banjir mencatatkan hampir 100,000 orang di PPS.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, rutin setiap tahun Kelantan akan menerima paling kurang tiga gelombang banjir di negeri ini. Dan ini baru permulaan iaitu gelombang pertama yang kita rasa sudah cukup terkesan.
“Mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS juga hampir 100,000 orang. Ini adalah satu skala yang besar.
“Diramalkan berlaku gelombang kedua, jadi di pihak kerajaan negeri kita akan cuba sedaya upaya dengan kemampuan yang ada untuk memberi keselesaan kepada mangsa banjir di PPS. Namun kita tidak menjamin kesempurnaan tetapi kita akan cuba ikhtiar sekadar yang termampu,”katanya kepada pemberita selepas pihak PKINK menyerahkan kit bantuan banjir di Pejabat ADUN Tanjung Mas, di sini, semalam.
Tambahnya, beliau mengharapkan gelombang pertama itu menjadi panduan kepada mangsa banjir.
“Gelombang pertama ini menjadi panduan dan pengalaman untuk mereka terus bertindak bagi memastikan pertamanya keselamatan diri dan keluarga serta dokumen penting perlu diletakkan keutamaan sebelum berpindah,”katanya.

Menurutnya untuk gelombang pertama, beliau sudah turun padang untuk membantu mangsa banjir hampir di seluruh daerah di negeri ini.
Tambahnya mereka akan meneruskan perkhidmatan “gonyoh gahar” bagi membantu mereka yang terkesan banjir bagi membersihkan rumah.
IMedikel TV






