KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri tidak menolak turut menjadi mangsa buli siber seperti mana yang diluahkan sahabatnya yang juga penyanyi, Aina Abdul, baru-baru ini.
Ernie, 33, berkata, impak Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) baru-baru ini, sangat besar dan kejayaan Aina juga mungkin menjadi sasaran netizen.
“Saya tidak berada di tempat Aina, tetapi saya faham apa yang dia rasakan. Lebih-lebih lagi, dengan AJL39 yang berlangsung baru-baru ini juga. Jadi, impaknya itu sangat luar biasa sebenarnya kepada kesihatan mental kita.
“Mungkin Aina menjadi sasaran kerana dia adalah Aina Abdul. Dia adalah Aina Abdul yang sedang berkembang dan namanya sudah besar di dalam industri muzik. Jadi, dia menjadi sasaran utama,” katanya.
Ditanya sama ada Aina dan dirinya sering menjadi mangsa buli siber kerana mereka adalah selebriti wanita, Ernie berkata, ramai juga selebriti lelaki yang turut menjadi mangsa.
“Nak kata (buli siber) itu berkaitan perbezaan jantina, saya kurang pasti sebab saya pun sama seperti Aina, selalu dan senang cerita, setiap hari menjadi mangsa buli siber.
“Mungkin ada juga penyanyi-penyanyi lelaki lain yang turut menerima serangan yang sama. Suami saya juga ada kena buli siber. Setiap hari dia baca di media sosial.
“Tapi mungkin ketaranya apabila Aina adalah Aina Abdul yang sangat terbang tinggi pada ketika ini,” katanya.
Ditanya mengenai solusi yang dilakukan Ernie secara peribadi bagi menjaga kesihatan mentalnya, Ernie lebih selesa menjauhkan diri daripada media sosial.
“Apa yang mampu katakan, kalau saya, saya memang menjauhkan diri dari media sosial selepas saya buat sesuatu yang besar.
“AJL, konsert, saya jauhkan diri dari media sosial dalam tiga ke empat hari, bagi dia ‘surut’ dulu kerana memang sakit kalau kita baca.
“Bila terbaca pun, sangat sakit sebenarnya. Tetapi, Aina kuat dan saya rasa ini bukan pertama kali dia terkena. Tapi, semestinya ia beri kesan besar kepadanya sebab saya pun ada terbaca mengenai apa yang dilaluinya.
“Saya juga nak luahkan, saya tak faham, kenapa (netizen) harus melakukan perkara sebegitu. Doa saya agar keadaan Aina akan bertambah baik dan saya juga mendoakan kejayaannya, Insya-Allah,” katanya.
Terbaharu, Ernie bakal mengadakan konsert Ernie Zakri Live in Singapore, yang akan berlangsung di Capitol Theatre, Singapura pada 31 Mei 2025 anjuran Sah Entertainment dan kolaborasi bersama Universal Music Malaysia. – HMetro Online –
IMedikel TV






