Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) komited dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti, selamat dan selesa bagi meningkatkan aksesibiliti, mobiliti dan saling keterhubungan antara rakyat Malaysia bandar dan luar bandar selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Program MYJALAN.
Menurut satu kenyataan bagi melaksanakan komitmen itu serta sebagai peneraju pembangunan infrastruktur negara, , Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan hadir menyaksikan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Wira Ir. Roslan Ismail bagi penyerahan surat pelantikan kepada enam orang Pegawai Penguasa Projek yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan Jurutera Awam Penguasa Kanan, Unit Projek Khas serta enam Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang terlantik.
“SST yang diserahkan hari ini adalah untuk projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah Seremban (FT362, Seksyen 0.4 hingga 3.1) dan membina jejambat merentasi Lebuhraya Utara Selatan, Seremban, Negeri Sembilan.
“Projek pembinaan Seksyen 1B Lingkaran Tengah Utama (LTU), di Kelantan bernilai RM425.2 juta, projek pembinaan Jalan Baru di Bandar 34, Bera, Pahang (Fasa 2) bernilai RM68.9 juta, projek membina jambatan Kampung Binjai, Kuala Lipis, Pahang bernilai RM63.4 juta,”menurut kenyataan itu.
Bukan itu sahaja SST yang diserahkan juga adalah termasuk projek menaik taraf/membaik pulih Jalan dan infrastruktur luar bandar di Kampung Bukit Damar, Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor bernilai RM35.6 juta.
Dan yang terakhir adalah bagi projek menaik taraf Jalan Kampung Bukit ke Kampung Lubuk Batu, Mukim Derang, Daerah Pokok Sena, Kedah dengan kos projek bernilai RM33.4 juta.
Menurut kenyataan kelima – lima projek pembinaan jalan raya tersebut mengadaptasi Building Information Modeling (BIM) dalam kitar hayat pelaksanaan projek.
Model digital yang menjadi sebahagian dari Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 itu dijangka akan meningkatkan produktiviti dan pengurusan aset menyeluruh, dan mengurangkan kesilapan serta kos keseluruhan.
“KKR mengucapkan tahniah kepada semua syarikat kontraktor yang dilantik dan berharap mereka dapat memberikan komitmen kepada aspek kualiti terutamanya dari segi pematuhan spesifikasi, kos dan masa yang ditetapkan, serta mengutamakan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja.
“KKR melalui JKR Malaysia akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dalam memastikan enam projek akan memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat MADANI,”menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






