Home Segmen Kesihatan KENALI PENYAKIT BIPOLAR: KECELARUAN MOOD ATAU KEMURUNGAN?

KENALI PENYAKIT BIPOLAR: KECELARUAN MOOD ATAU KEMURUNGAN?

433
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

Penyakit bipolar atau kecelaruan bipolar merupakan gangguan mental yang dikaitkan dengan perubahan mood secara mendadak daripada perasaan sangat gembira (mania) kepada kemurungan yang mendalam dan sebaliknya.

Menurut portal kesihatan hellodoktor, gangguan ini bukanlah penyakit yang jarang berlaku dan boleh menyerang sesiapa sahaja, termasuk remaja dan orang dewasa, malah dalam sesetengah kes turut dikesan dalam kalangan kanak-kanak.

Kajian menunjukkan wanita lebih berisiko didiagnosis dengan penyakit bipolar berbanding lelaki, meskipun punca sebenar kecenderungan itu masih belum diketahui.

Perubahan mood melampau antara tanda utama

Gejala bipolar boleh berbeza antara individu dan sering kali menyerupai simptom gangguan mental lain, menjadikan diagnosisnya mencabar. Secara umumnya, tanda-tanda penyakit bipolar dibahagikan kepada dua episod utama iaiatu mania dan kemurungan.

Antara tanda mania termasuklah:

1. Rasa terlalu gembira untuk jangka waktu panjang.

2. Kurang tidur tetapi tetap bertenaga.

3. Bercakap terlalu cepat dan sukar dikawal.

4. Bertindak secara impulsif atau gelisah.

5. Mudah terganggu atau hilang fokus.

6. Terlalu yakin dengan kebolehan diri.

7. Terlibat dalam aktiviti berisiko seperti berbelanja besar, berjudi atau hubungan seks rambang.

Sementara itu, tanda kemurungan pula membabitkan gejala seperti:

1. Perasaan sedih atau putus asa yang berlarutan.

2. Menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan.

3. Hilang minat terhadap aktiviti yang sebelum ini digemari.

4. Perubahan ketara dalam selera makan.

5. Keletihan melampau atau kekurangan tenaga.

6. Masalah tumpuan dan kesukaran membuat keputusan.

7. Pemikiran tentang kematian atau cubaan membunuh diri.

Punca penyakit bipolar atau faktor risiko pada pesakit yang didiagnosis dengan kecelaruan kemurungan major termasuklah:

•           Sekurang-kurangnya dua episod mood melampau di masa lalu

•           Sejarah keluarga dengan tanda jenis mania

•           Kejadian simptom psikiatri pertama sebelum usia 30 tahun

•           Episod kemurungan semasa berlangsung kurang daripada satu bulan

•           Ketidakstabilan mood dengan antidepresan

•           Mengalami perasaan bercampur

Kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai penyakit bipolar juga penting bagi mengurangkan stigma terhadap pesakit gangguan mental, selain membantu mereka menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan produktif.

IMedikel TV



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here