Oleh:Afrizam Arif@IMedikel TV
TUMPAT: Kemeriahan sambutan Deepavali tetap terasa di Kelantan apabila keluarga Kumar Perumal, 50, atau lebih mesra disapa Anne, meraikan perayaan cahaya itu dengan penuh tradisi dan keterbukaan di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu, hari ini.
Ditemani ibunya, Kanikum Manikam, 79, serta dua anaknya, Kumar berkata sambutan Deepavali tahun ini diserikan lagi dengan kehadiran jiran dan sahabat daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Siam yang turut sama memeriahkan suasana.

“Walaupun masyarakat India tak ramai di kawasan ini, tetapi setiap kali Deepavali kami tetap masak besar dan jemput semua jiran datang. Melayu, Cina, Siam semua ada. Rumah kami jadi tumpuan sebab orang tahu mak saya memang suka meraikan tetamu,” katanya.
Menurut Kumar yang bekerja sebagai penyelia di pasar raya Billion, Kota Bharu, suasana pagi Deepavali dimulakan dengan memasak pelbagai juadah tradisional yang perlu dimakan panas-panas seperti tose, vade, putu mayam, urunde dan ulunthu vade.
“Kami bangun awal sebab nak pastikan semua hidangan siap sebelum sembahyang pagi. Kalau lambat, tak sedap dah sebab makanan ini kena makan panas,” tambahnya.
Beliau berkata keluarganya yang terdiri daripada empat beradik kini menetap di beberapa negeri berbeza, namun mereka akan pulang ke Kelantan saban tahun untuk berkumpul meraikan perayaan bersama ibu tercinta.
“Kakak saya Ammutha, 55, tinggal di Puchong; abang sulung Ravi Chandran, 58, di Bachok; dan seorang lagi abang Mohan, 53, menetap di Johor. Apabila Deepavali, semua balik sini, jadi rumah memang meriah,” katanya.

Jelasnya, walaupun perayaan itu disambut secara sederhana, ia tetap membawa makna besar buat keluarganya yang menganggap Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi juga masa untuk memperkukuh silaturahim.
“Mak masih kuat walaupun dah hampir 80 tahun. Kami semua datang sebab nak tengok dia gembira dan dia pula suka tengok rumah ramai orang, anak cucu balik, jiran-jiran datang. Itu bagi kami erti sebenar Deepavali,” katanya.
Kanikum yang masih sihat dan aktif turut dilihat mengenakan sari berwarna merah terang, manakala anak menantu serta cucu-cucunya mengenakan pakaian Punjabi baharu bagi menyemarakkan suasana perayaan.
Selain hidangan tradisional, keluarga itu turut menyediakan roti jala dan kuih tradisional Melayu seperti kuih sarang tebuan bagi meraikan tetamu berbilang bangsa yang datang berkunjung.
Menurut Kumar, kawasan Kampung Padang Rokma kini hanya dihuni tiga keluarga India, namun hubungan antara kaum amat erat dan mereka saling membantu setiap kali musim perayaan.
“Kalau raya Aidilfitri, kami pula pergi rumah mereka. Jadi bila Deepavali, mereka datang rumah kami. Di Kelantan ni, suasana macam keluarga besar, tak rasa beza agama,” katanya.
Beliau juga mengakui amat berbangga kerana masih dapat mengekalkan tradisi turun-temurun walaupun hidup di negeri majoriti Melayu, sambil berharap keharmonian antara kaum di Kelantan terus berkekalan.
“Deepavali bagi kami bukan hanya cahaya pelita di rumah, tapi cahaya persahabatan dan kasih sayang yang tak pernah padam,” katanya menutup bicara.
IMedikel TV






