Home Buletin Semasa DEEPAVALI ERATKAN PERPADUAN PELBAGAI KAUM DI KELANTAN

DEEPAVALI ERATKAN PERPADUAN PELBAGAI KAUM DI KELANTAN

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Walaupun masyarakat India adalah kaum minoriti di Kelantan, sambutan Deepavali tetap meriah apabila diraikan bersama masyarakat pelbagai kaum yang hidup harmoni di negeri ini.

Menurut R. Hareetaran, 35, hari pertama perayaan dikhaskan untuk keluarga, manakala dua hari sebelumnya diadakan rumah terbuka bersama jiran pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Siam.

Beliau yang juga penjawat awam berkata tradisi menganjurkan rumah terbuka lebih awal sudah menjadi amalan keluarga mertuanya setiap kali menjelang Deepavali bagi memberi ruang hari perayaan sebenar dihabiskan bersama keluarga terdekat.

“Tahun ini saya menyambut Deepavali di rumah bapa mentua, kami mengadakan rumah terbuka lebih awal supaya hari Deepavali dapat dihabiskan bersama keluarga, bila buat awal, jiran Melayu, Cina dan Siam pun boleh datang, barulah nampak semangat perpaduan masyarakat di Kelantan.

“Walaupun kaum India di Kelantan ini minoriti, tapi kemeriahannya tetap terasa apabila disambut bersama pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui kru IMedikel TV di kediaman bapa mertuanya di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Hareetaran berkata, pada pagi Deepavali, keluarganya akan mengadakan upacara sembahyang, memohon restu daripada orang tua serta menyerahkan baju baharu dan duit raya kepada anak-anak sebelum berkunjung ke kuil.

“Selesai sembahyang di rumah, kami akan ke kuil berhampiran untuk bersembahyang dan bertemu rakan-rakan, biasanya masyarakat India di Kota Bharu akan berkumpul di sana, saling mengucapkan ‘Happy Deepavali’ dan menjemput ke rumah masing-masing, suasananya seperti ‘small reunion’,” katanya.

Hareetaran yang juga wakil masyarakat India peringkat Kerajaan Negeri berharap perpaduan kaum di Kelantan terus kekal dan menjadi contoh teladan kepada negeri lain.

Sementara itu, isterinya, Shaarada Bairavi, 35, pemilik sebuah klinik pergigian di Kota Bharu, berkata hidangan seperti tosai dan kari ayam menjadi pelengkap sajian pagi Deepavali, selain muruku dan manisan yang juga menjadi juadah wajib setiap tahun.

“Hari ini pun kita bangun pagi lagi masak dan sediakan hidangan untuk sarapan, suka la sebab dapat berkumpul ramai-ramai dengan ahli keluarga.

“Hari ini saya dan suami mengenakan busana saree dan ‘jeepa’,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here