Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Suasana penuh ceria dan semangat kekeluargaan mewarnai Program Senaman Warga Emas Siri 2 Peringkat Daerah Tumpat yang berlangsung di Dataran Pasir Pekan, pada pagi Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria dalam kenyaatan di Facebook memaklumkan seramai bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas serta mempererat hubungan komuniti setempat.
“Kemeriahan dan semangat para peserta jelas terpancar sepanjang acara berlangsung, mencerminkan bahawa usia bukanlah penghalang untuk terus aktif dan mengekalkan gaya hidup sihat.
“Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, yang mengetuai aktiviti utama iaitu Berjalan Ria sejauh 1.4 kilometer. Kehadiran beliau menjadi simbol sokongan padu terhadap inisiatif kesihatan dan kesejahteraan warga emas,”katanya dalam hantaran Facebook rasmi, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Asraihan Abdul Razak; Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Kebajikan Masuyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Siti Nur Hasma Mat Isa; Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kelantan, Nik Farhan Muhaimin; serta Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Kelantan, Haslinda Hassan.
Menurut beliau seramai 150 peserta terdiri daripada ahli PAWE 3A Pasir Pekan, penghuni Rumah Sri Kenangan Pengkalan Chepa, serta wakil pelbagai jabatan menyertai program tersebut.

“Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga emas, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial antara agensi kerajaan dan komuniti setempat,”katanya.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dengan kerjasama PAWE 3A Pasir Pekan dan JKM Tumpat itu bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas serta mempererat hubungan komuniti setempat.
IMedikel TV






