KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah satu simbol kematangan politik baharu di negeri ini.
Memetik laporan Berita Harian, Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, selama GRS menerajui pentadbiran kerajaan negeri, Sabah khususnya dari aspek landskap politik disifatkan lebih stabil berbanding sebelum ini.
Katanya, hasil kestabilan politik terbabit jelas dilihat menerusi inisiatif dan projek pembangunan yang dilaksanakan di Sabah.
“Apa yang jelas, Sabah sudah jauh lebih stabil. Kestabilan ini bukan datang begitu saja. Ia lahir daripada kesedaran bahawa negeri ini mempunyai satu gabungan (politik) yang kuat, seimbang, berpandangan jauh.
“Ia bukan lagi politik siapa menang, siapa kuat tetapi politik siapa mampu memimpin dengan tanggungjawab. Rakyat pun sudah matang dan mereka tidak mahu lagi melihat perebutan kuasa yang tidak berkesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Forum Khas GRS sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Su Phin berkata, di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sudah terbukti politik stabil membawa hasil yang nyata.
“Hari ini, kita nampak sendiri banyak projek berjalan lancar seperti Pan Borneo- Sabah, air, elektrik, pembinaan sekolah dan jalan luar bandar.
“Semua ini tidak mungkin diteruskan jika kerajaan asyik bertukar atau sibuk berpolitik setiap bulan. Jadi bagi saya, GRS bukan sekadar gabungan.
“GRS satu simbol kematangan politik baru…politik yang mendengar bukan mendominasi…politik yang membina bukan memecah-belahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Su Phin berkata walaupun GRS terdiri daripada beberapa parti komponen dengan pelbagai latar belakang, namun semuanya berpaksikan matlamat untuk berkhidmat kepada negeri ini.
“Setiap parti dalam GRS ada latar belakang berbeza. Sebab itu GRS jadi contoh unik.
“Ini bukan siapa lebih besar atau kuat tapi bagaimana kita saling menghormati.
“Kita berbincang untuk capai keputusan bersama, ini politik yang matang berpaksikan muafakat,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






