Home Buletin Semasa KENAF DIPERLUAS KE SABAH, SARAWAK 

KENAF DIPERLUAS KE SABAH, SARAWAK 

112
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Tanaman kenaf berpotensi besar untuk dikembangkan sebagai komoditi bernilai tinggi termasuk dalam industri pembinaan, perabot serta pembuatan produk berasaskan gentian semula jadi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata kenaf bukan sahaja digunakan dalam penghasilan makanan haiwan, malah mempunyai pelbagai kegunaan lain termasuk dalam sektor pembinaan bangunan.

“Bahan berasaskan kenaf boleh dimanfaatkan dalam pelbagai aplikasi seperti pembinaan struktur bangunan selain penghasilan produk industri lain.

“Kenaf mempunyai potensi yang sangat besar kerana ia boleh digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan bangunan, pembuatan perabot serta produk lain yang berasaskan gentian kenaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa di sini pada Selasa.

Beliau berkata, produk berasaskan kenaf juga kini sudah memasuki pasaran komersial termasuk dalam pembuatan tilam. 

Menurutnya, beberapa pengeluar tilam berjenama turut menggunakan komponen kenaf dalam produk mereka termasuk tilam untuk kegunaan hospital.

“Sebahagian komponen dalam tilam yang dihasilkan oleh pengeluar tertentu menggunakan bahan daripada kenaf,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sedang menjalankan kajian lanjut bagi mengenal pasti pasaran eksport yang berpotensi bagi produk berasaskan kenaf, khususnya perabot.

Katanya, kajian itu penting bagi menentukan negara sasaran yang sesuai untuk memasarkan produk berasaskan kenaf dari Malaysia.

Selain itu, beliau berkata usaha memperluaskan penanaman kenaf turut dirancang dengan memberi tumpuan kepada kawasan baharu termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Selepas ini kita melihat Sabah dan Sarawak sebagai antara kawasan yang berpotensi untuk penanaman kenaf bagi memperkukuhkan lagi industri komoditi ini di negara ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here